Sabtu, 24 March 2018 | 8:21pm
KAKITANGAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memberi penerangan kepada Nur Syahirah Azhar 22, (kiri) mengenai E Rezeki di Festival GegaRia 2018 di Dataran Amanjaya, Meru. - Foto Abdullah Yusof
KAKITANGAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memberi penerangan kepada Nur Syahirah Azhar 22, (kiri) mengenai E Rezeki di Festival GegaRia 2018 di Dataran Amanjaya, Meru. - Foto Abdullah Yusof

GegaRia beri peluang MDEC latih belia

IPOH: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yakin mampu menarik dan melatih lebih 250,000 usahawan menerusi Festival GegaRia 2018 #KitaOK, yang dianjurkan Media Prima Berhad di Bulatan Amanjaya, Meru, hari ini.

Naib Presiden Hal Ehwal Korporat MDEC, Razaleigh Zainal berkata, menerusi program eRezeki dan eUsahawan anjurannya, usahawan terutama dalam kalangan belia diberi latihan bersesuaian bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi.

"Sepanjang tiga tahun lalu, kita berjaya melatih lebih daripada 300,000 usahawan menerusi program eRezeki dan eUsahawan dan menjana lebih RM300 juta.

"Menerusi festival ini, kita yakin mampu melatih dan memberi pendedahan kepada lebih ramai belia untuk menjana pendapatan lebih tinggi.

"Alhamdulillah, menerusi pelbagai program yang dianjurkan, kita mendapat impak yang amat baik," katanya ketika ditemui di gerai pameran #YOUCANDUIT di Bulatan Amanjaya Meru, di sini, hari ini.

#YOUCANDUIT adalah n kempen digital untuk meningkatkan pendapatan tambahan dalam kalangan rakyat Malaysia melalui inisiatif digital eRezeki dan eUsahawan.

Razaleigh berkata, menerusi acara itu, MDEC dapat memberi pendedahan kepada masyarakat supaya lebih ramai menyokong program #YOUCANDUIT.

Katanya, selain program eRezeki dan eUsahawan, pihaknya juga melancarkan program baharu dinamakan 'Global Online Workforce'.

"Kita membawa usahawan yang bekerja untuk menjana pendapatan secara lebih tinggi, contohnya memberi pendedahan kepada mereka bagaimana untuk membuat rekaan supaya mereka dapat menjana pendapatan lebih tinggi berbanding sebelumnya," katanya.

Berita Harian X