Sabtu, 24 March 2018 | 10:17am
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup (tiga dari kiri) menyerahkan geran berjumlah RM158,000 kepada wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Langkawi pada Program Turun Padang Menteri Bersama Warga Rukun Tetangga di Kampung Bukit Malut, Langkawi, semalam. - Foto Hamzah Osman
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup (tiga dari kiri) menyerahkan geran berjumlah RM158,000 kepada wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Langkawi pada Program Turun Padang Menteri Bersama Warga Rukun Tetangga di Kampung Bukit Malut, Langkawi, semalam. - Foto Hamzah Osman

Malaysia di tangga ke-29 Indeks Keamanan Global

LANGKAWI: Malaysia melonjak kepada kedudukan ke-29 tahun daripada 163 negara tahun lalu dalam Indeks Keamanan Global (GPI) berbanding di tangga ke-30 tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, berkata rangking itu diterbitkan Institute for Economics and Peace (IEP) bertujuan untuk mengukur kedamaian atau keamanan di peringkat global.

Beliau berkata, Malaysia berada hanya satu tangga di belakang Singapura dan kerajaan akan terus berusaha untuk terus melonjak ke tempat yang lebih baik pada tahun ini.

"Kejayaan itu membuktikan toleransi kaum di negara ini berada pada tahap tertinggi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Turun Padang Menteri Bersama Warga Rukun Tetangga di Kampung Bukit Malut, di sini, semalam.

Pada sidang media sama, Kurup turut menyanjung tinggi keikhlasan seorang penduduk tempatan berbangsa Cina yang membenarkan penduduk Islam membina masjid di atas tanah miliknya.

"Dari segi perpaduan, Kampung Bukit Malut ini mencatat sejarah tersendiri apabila seorang penduduk berbangsa Cina membenarkan sebuah masjid dibina atas tanah miliknya.

"Keikhlasan penduduk ini amat menyentuh perasaan saya dan ia patut dijadikan contoh dalam usaha kita memantapkan perpaduan kaum di negara ini," katanya.

Pada majlis sama, Kurup turut menyampaikan geran berjumlah RM158,000 kepada 28 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Langkawi bagi melaksanakan aktiviti sepanjang tahun ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 20 penerima Jiran Usia Emas sekitar Langkawi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, Ahli Dewan undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan (Operasi), Abdul Karim Abu Seman.

Berita Harian X