Khamis, 22 March 2018 | 4:50pm
TINJAUAN persiapan Festival GegaRia edisi keempat yang akan berlangsung di Dataran Amanjaya, Meru. - Foto L Manimaran

Festival GegaRia di Ipoh sasar 30,000 pengunjung

IPOH: Festival GegaRia edisi keempat yang berlangsung di Dataran Amanjaya, Meru, di sini, Sabtu ini (24 Mac) dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung dengan mengekalkan konsep sama seperti siri sebelum ini di Shah Alam, Johor Bahru dan Kuantan, Pahang.

Festival sehari yang bermula jam 8 pagi hingga 11 malam dengan dibahagikan kepada lima zon utama iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan.

Penggemar aktiviti sihat boleh menyertai sesi tarian kecergasan zumba yang diketuai jurulatih, Hanif Shawn bermula jam 8.30 pagi dan selain mengetuai rutin zumba, dia juga akan berkongsi tip kecergasan.

Zon Makan-Makan disertai pelbagai trak makanan, makanan segera, tradisional dan demonstrasi masakan serta pengunjung juga berpeluang mempelajari resipi baru dan bertemu Cef Fikree Aznan serta Cef Naem dalam aktiviti Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM).

Di Zon Throwback Tunnel, orang ramai dapat menimba inspirasi berharga mengenai perkembangan negara menerusi kontena yang berhias artistik, mempamerkan seni yang menceritakan era perkembangan Malaysia bermula 1950-an hingga kini, hasil kerja jurugambar The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).

Zon Gaya Hidup pula akan menampilkan sesi ramah mesra bersama watak animasi Ejen Ali, Bicara Fesyen bersama Nabila Razali serta beberapa sesi lagi bersama Faiz Dickie, Ramona Zamzam, Elfira Loy, Kugiran Masdo dan Nadia Brian.

Festival itu akan diakhiri dengan segmen Konsert GegaRia di pentas utama dengan menampilkan artis seperti Sonaone, Noh Salleh, Kugiran Masdo dan Bunkface.

Koordinator program merangkap Pengurus Pengiklanan NSTP, Mohd Anis Abdullah berkata, sasaran 30,000 pengunjung itu mampu direalisasikan berdasarkan sambutan yang diterima dalam tiga edisi sebelum ini.

Katanya, beberapa kelainan turut ditampilkan antaranya di Zon Throwback Tunnel yang akan mempamerkan hasil kerja jurugambar NSTP yang belum dipamerkan pada tiga edisi sebelum ini.

Menurutnya, orang ramai, terutama umat Islam yang hadir ke tapak festival tidak perlu bimbang kerana penganjur turut menyediakan surau bergerak bagi memudahkan mereka menunaikan solat.

"Pengunjung turut berpeluang beramah mesra dengan artis melalui Zon Gaya Hidup dan kami menjemput semua pengunjung untuk bersama-sama memeriah festival ini yang memilih Ipoh sebagai lokasi keempat," katanya.

Menurutnya, festival anjuran Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) itu turut menganjurkan pertandingan permainan dalam talian atau e-games iaitu Fifa Online 3 untuk pengunjung.

Berita Harian X