Khamis, 15 March 2018 | 2:42pm

PARLIMEN: Utama disiplin fiskal, urus hutang

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk terus mengamalkan langkah konsolidasi fiskal bagi mengurangkan paras defisit negara secara berperingkat.

Kementerian Kewangan menjelaskan, langkah itu selaras matlamat memastikan paras hutang Kerajaan Persekutuan berkadar RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Disember tahun lalu kekal rendah dan terurus.

Katanya, kedudukan fiskal sedemikian seterusnya akan mengurangkan keperluan kerajaan untuk meminjam dan berupaya menurunkan paras hutang.

"Kepatuhan yang tegas terhadap disiplin fiskal dan pengurusan hutang yang baik terus diberikan penekanan.

"Ia bagi memastikan kedudukan fiskal dan makroekonomi terus kukuh serta dapat menampan sebarang krisis," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang diedarkan di Dewan Rakyat, hari ini.

Teresa meminta kerajaan menyatakan jumlah hutang negara setakat 31 Disember 2017, selain peratusan pinjaman daripada institusi domestik dan luar negara.

Menurut kenyataan itu, 96.9 peratus atau RM665.6 bilion daripada keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan adalah hutang domestik, iaitu mewakili 49.2 peratus daripada KDNK.

"Baki 3.1 peratus daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan atau RM21.2 bilion (1.6 peratus daripada KDNK) ialah pinjaman luar pesisir.

"Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana," katanya.

Perangkaan pemiutang atau pegangan hutang kepada Kerajaan Persekutuan pula menunjukkan RM484.2 bilion atau 70.4 peratus bon dan sukuk dipegang pelabur domestik.

Ia merangkumi institusi pelaburan yang kukuh dan berjangka panjang institusi perbankan serta Bank Negara Malaysia dengan anggaran pegangan 29.5 peratus.

"Selain itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mewakili 26.2 peratus, syarikat insurans (4.5 peratus), institusi kewangan pembangunan (tiga peratus), dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), 3.2 peratus.

"Institusi kewangan bukan bank (0.1 peratus) dan lain-lain pula 3.9 peratus," katanya.

Baki RM202.6 bilion atau 29.6 peratus dipegang bukan pemastautin seperti pengurus dana, 11.8 peratus; bank pusat, supernasional dan kerajaan (9.1 peratus), dana persaraan (1.9 peratus), institusi perbankan (4.6 peratus), syarikat insurans (satu peratus), manakala institusi dua hala, pelbagai hala dan lain-lain sebanyak 1.2 peratus.

Berita Harian X