Jumaat, 9 March 2018 | 7:25pm
Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP)Datuk Seri Abdul Jalil Abdul Hamid merasmikan Pameran Hartanah MyRumah di Atrium SACC Mall. Turut hadir Ketua Pegawai Komersil NSTP Alfian Abu Talib (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif CJ Wow Shop Yahny Kim Yang Hyun (dua kiri), Pengurus Besar Pengiklanan dan Jualan NSTP Jeannie Leong (kanan). - Foto Roslin Mat Tahir

Beli rumah untuk pelaburan jangka panjang

SHAH ALAM: Pameran Hartanah MyRumah anjuran Kumpulan akhbar terbesar Malaysia, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) menjadi platform untuk orang ramai, terutama pembeli rumah pertama untuk membeli kediaman impian mereka dengan harga berpatutan.

Penganjuran Pameran Hartanah MyRumah memasuki tahun ketiga bermula dari hari ini hingga Ahad.

Pengunjung, Meriam Md Nor, 47, berkata pameran berkenaan bagus untuk orang ramai yang sedang merancang untuk membeli kediaman selain menambah pengetahuan mengenai nilai semasa hartanah di negara ini.

"Saya suka berkunjung ke pameran seperti ini untuk melihat rumah atau hartanah yang dipamerkan dan jika ia bertepatan dengan bajet, saya akan beli.

"Bagi saya, membeli rumah adalah pelaburan jangka panjang yang bagus dan setiap orang perlu memiliki walaupun hanya sebuah rumah kerana nilainya sentiasa meningkat," katanya ketika ditemui di Pameran Hartanah MyRumah, di Pusat Beli Belah SACC, di sini hari ini.

Orang ramai yang mengunjungi tapak di Pameran Hartanah My Rumah di Atrium SACC Mall. - Foto Roslin Mat Tahir
Orang ramai yang mengunjungi tapak di Pameran Hartanah My Rumah di Atrium SACC Mall. - Foto Roslin Mat Tahir

Beliau yang menetap di Desa Alam, di sini memiliki kira-kira tujuh hartanah yang terdiri daripada pangsapuri, rumah teres dan ruang pejabat.

"Saya membeli rumah pertama iaitu sebuah pangsapuri di Seksyen 18 pada usia 23 tahun dan ketika itu nilainya kira-kira RM70,000. Kini nilai rumah berkenaan sudah meningkat berkali ganda," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Asri Nasri, 50, berkata, beliau berkunjung ke pameran itu untuk melihat harga semasa rumah.

"Saya memang ada perancangan untuk membeli rumah tetapi masih menyelidik harga rumah yang dipamerkan jika ia bersesuaian dengan bajet serta lokasi.

"Selain itu, saya juga hadir untuk mendengar sesi ceramah yang disampaikan oleh pakar hartanah untuk menambah lebih pengetahuan sebelum membeli rumah," katanya.

KETUA Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berucap pada Majlis Perasmian Pameran Hartanah MyRumah, di Pusat Beli Belah SACC, Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir
KETUA Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berucap pada Majlis Perasmian Pameran Hartanah MyRumah, di Pusat Beli Belah SACC, Shah Alam, hari ini. - Foto Roslin Mat Tahir

Selepas Shah Alam, siri penganjuran Pameran Hartanah Myrumah seterusnya di Sungai Petani, Johor Bahru dan Melaka.

Sebanyak empat pemaju hartanah tempatan mengambil bahagian terdiri daripada Sunsuria Bhd, Aset Kayamas Sdn Bhd, Magna Prima Bhd dan Sime Darby Property Bhd.

Pempamer bukan pemaju yang turut serta ialah AmanahRaya Berhad, Bank Muamalat, Takaful Ikhlas, CJ Wow Shop dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara penceramah dan pakar hartanah terkenal yang akan mengadakan perbincangan sepanjang acara berkenaan adalah Ahyat Ishak, Datuk Nazri Mustafa, Akmal Nazim, Bella Leana, Amin Harith dan Amsyari Syakur dari Pejuang Hartanah.

Berita Harian X