Rabu, 7 March 2018 | 6:26pm
PROF Datuk Seri Dr Teo Kok Seong. - Foto Rohanis Shukri
PROF Datuk Seri Dr Teo Kok Seong. - Foto Rohanis Shukri

Usaha kembalikan PPSMI sia-sia

KUALA LUMPUR: Usaha mana-mana pihak yang cuba mengembalikan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke dalam sistem pendidikan negara adalah langkah sia-sia dan merugikan rakyat.

PPSMI diperkenalkan pada 2003 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri terus mendapat bantahan parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengadakan demonstrasi pada 2009 sehingga mengheret rakyat ke jalanan.

Susulan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Pendidikan akhirnya memansuhkan dasar itu pada 2012.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Prof Dr Teo Kok Seong, berkata ia berikutan kerajaan sudah memperkenalkan Program Dwibahasa (DLP) pada 2016, yang bersifat lebih 'demokratik' untuk menggantikan sistem berkenaan.

Beliau berkata, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan berdaftar Kementerian Pendidikan tidak wajib menggunakan mekanisme itu dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan dan penguasaan bahasa Inggeris.

Katanya, hanya sekolah yang layak diberi pilihan melaksanakan DLP bagi sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris iaitu bagi subjek Matematik, Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Reka Bentuk dan Teknologi.

"Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sepatutnya tahu bahawa PPSMI sudah dibawa ke dalam DLP.

"Kerajaan sudah memperkenalkan DLP yang bersifat lebih 'demokratik', tanpa paksaan untuk melaksanakannya dan membabitkan lebih banyak mata pelajaran," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas manifesto PH untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang berhasrat mengembalikan PPSMI.

Kok Seong berkata, PH tidak wajar mengembalikan PPSMI yang sudah lapuk dan boleh membunuh bahasa kebangsaan ke dalam sistem pendidikan negara.

Mengulas kerjasama Dr Mahathir dan Muhyiddin iaitu dua individu yang memperkenalkan serta memansuhkan PPSMI serta kini berada dalam PH, beliau berkata, mereka tidak sepakat untuk menjayakan agenda pendidikan ke seluruh negara.

"Dulu, seorang perkenalkan, seorang mansuhkan. Sekarang mereka mahu menjayakan pakatan bersama. Dr Mahathir hanya bercakap (suarakan idea), jika mahu buat gagasan besar di seluruh negara, perlu ada pakatan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad, berkata tindakan pembangkang cuba mengembalikan PPSMI adalah langkah terkebelakang dan hanya untuk kelangsungan politik mereka.

"Muhyiddin tidak lagi dalam kerajaan, dia kini pembangkang dan ketua pembangkang kini Dr Mahathir, yang daripada dulu memang bersungguh-sungguh dengan apa cara pun mahu melaksanakan PPSMI.

"Bagi Muhyiddin, dulu lain sekarang lain, atas pentas politik yang berbeza. Maknanya, bagi orang politik seperti beliau, dia sokong atau tolak PPSMI mengikut kepentingan politik dia, bukan atas kepentingan agenda pendidikan. Itulah warna sebenar pemimpin politik seperti beliau," katanya.

Berita Harian X