Rabu, 7 March 2018 | 5:29pm
ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu semasa sidang media di pusat Khidmat Adun Tanjung Bungah, Jalan Osman Bin Abdul Rahman, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu semasa sidang media di pusat Khidmat Adun Tanjung Bungah, Jalan Osman Bin Abdul Rahman, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Had tempoh jawatan untuk raih undi - Yee Cheu

GEORGETOWN: Cadangan pakatan pembangkang mengehadkan tempoh perjawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disifatkan sebagai usaha meraih undi semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu, berkata pakatan pembangkang seharusnya melaksanakan idea itu di Selangor dan Pulau Pinang terlebih dulu, jika mereka benar-benar berhasrat berbuat demikian.

Katanya, pakatan pembangkang perlu memanfaat baki tempoh penggal PRU-13 dengan menyediakan kertas kerja mengenai cadangan itu untuk diusulkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Selangor supaya perbahasannya dapat dilakukan pada sidang pertama selepas PRU-14.

"Mereka perlu buktikan hasrat mengehadkan tempoh perjawatan ini kepada rakyat sementara masih berkuasa di dua negeri. Kenapa perlu tunggu selepas PRU-14? Adakah benar mereka mahu lakukannya atau hanya untuk meraih undi?

"Buat dulu di dua negeri ini (Pulau Pinang dan Selangor), yakinkan pengundi bahawa pakatan pembangkang sememangnya berhasrat berbuat demikian dan bukannya hanya cakap tak serupa bikin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yee Cheu sebelum ini pernah mencadangkan jawatan Ketua Menteri disandang secara bergilir dan tempohnya dihadkan kepada dua penggal pada sidang DUN Pulau Pinang 2014,.

Bagaimanapun, ia ditolak selepas mendapat pelbagai reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Pada 31 Mac 2016, Yee Cheu sekali lagi mengemukakan usul sama, namun ditolak untuk kali kedua.

Oktober tahun lalu, Yee Cheu memaklumkan akan meninggalkan DAP selepas pembubaran DUN akan datang selepas tidak lagi sehaluan dengan kepemimpinan parti.

Sementara itu, Yee Cheu turut meminta rakyat menilai keikhlasan pakatan pembangkang merealisasikan cadangan itu apabila usul berkenaan didakwa dikitar semula daripada idea bekas ahli DAP berkenaan.

"Saya sendiri sudah bangkitkan perkara ini sekurang-kurangnya empat tahun di sidang DUN Pulau Pinang, tetapi ditolak kerajaan negeri. Justeru, saya pulangkan kepada rakyat untuk menilai mereka kembali," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata cadangan mengehadkan perjawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal hanya akan direalisasikan pakatan pembangkang selepas menang pada PRU-14 nanti.

Beliau berkata, pelaksanaan cadangan itu tidak akan mengambil kira tempoh perjawatan sedia ada yang dipegang mana-mana pemimpin sebelum PRU-14.

Selain itu, katanya, pakatan pembangkang bersedia mengehadkan perjawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar kepada dua penggal, sekiranya hanya berjaya mengekalkan kuasanya di peringkat negeri.

Berita Harian X