Sabtu, 3 March 2018 | 2:25pm
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir, Khalid berucap pada Program Back To School Parlimen Padang Terap Anjuran Barisan Nasional Backbenchers Council (BBNBC) dengan kerjasama Syarikat UEM Group Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang. - Foto Sharul Hafiz Zam

Hasrat kembalikan PPSMI hanya janji kosong

PADANG TERAP: Cadangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk mengembalikan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) jika pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), disifatkan sebagai janji kosong.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata adalah sukar untuk menghidupkan semula PPSMI yang sudah dimansuhkan sendiri oleh Timbalan Pengerusi PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan pada tahun 2012.

"Pada waktu ini, kita di peringkat kementerian sudah melaksanakan dua program pendidikan yang mempunyai matlamat sama seperti PPSMI iaitu Program Imersif Tinggi (Highly Immerse Programme-HIP) dan Program Dwibahasa (DLP), yang mana HIP bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris (BI) dalam kalangan murid melalui pendedahan lebih tinggi terhadap bahasa berkenaan.

"Manakala, DLP pula adalah suatu program pilihan kepada sekolah menggunakan BI dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Sains serta Matematik dan sehingga kini, terdapat 10,000 sekolah di seluruh negara melaksanakan HIP dan 1,500 sekolah pula memilih mengikuti DLP.

"Jadi, jika PH mahu melaksanakan semula PPSMI jika mereka memenangi PRU-14, itu terpulang kepada mereka kerana mereka hanya boleh menabur pelbagai janji kepada rakyat.

"Adakah mereka mampu melaksanakannya dan mengendalikan program berkenaan mengikut kesesuaian semasa kelak," katanya selepas menghadiri Program 'Kembali Ke Sekolah' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang, di sini hari ini.

Mahdzir berkata, Dr Mahathir pada waktu ini dilihat sebagai insan yang hanya pandai menabur janji kepada rakyat tanpa memikirkan implikasi atau kesannya kepada murid atau sistem pendidikan.

"PPSMI dulunya mendapat tentangan bukan saja daripada pihak pembangkang, malah daripada wakil kerajaan sehinggakan Muhyiddin ketika itu bertindak memansuhkannya.

"Sekarang, Dr Mahathir hendak kembalikan rancangan pendidikan yang sudah tiada, walhal pada masa sama kita sudah mempunyai rancangan pendidikan sendiri yang ditambah baik pelaksanaannya," katanya.

Mahdzir yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut menempelak tindakan Pengerusi PH itu yang menyatakan kesediaannya dijadikan umpan untuk meraih sokongan pengundi Melayu pada PRU-14 nanti.

"Adalah janggal apabila Dr Mahathir yang sudah puluhan tahun berjuang dalam politik sanggup menjadikan dirinya umpan semata-mata untuk meraih undi orang Melayu bagi memenuhi agenda DAP.

"Walhal, dia sendiri dulu pernah berkata DAP anti-Melayu, anti-Islam dan sebuah parti cauvinis tetapi sekarang demi mendapatkan undi, beliau sanggup memperalatkan diri untuk parti gabungan diketuai DAP," katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menyampaikan sumbangan barangan kelengkapan sekolah seperti beg, pakaian, kasut dan alat tulis kepada 400 orang murid sekolah rendah seluruh Parlimen Padang Terap.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, memakaikan beg sekolah kepada murid sambil diperhatikan Ketua Tanggungjawab Korporat UEM Group Berhad, Nadia Hanafiah. - Foto Sharul Hafiz Zam
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, memakaikan beg sekolah kepada murid sambil diperhatikan Ketua Tanggungjawab Korporat UEM Group Berhad, Nadia Hanafiah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Berita Harian X