X
Jumaat, 2 March 2018 | 10:46pm
LOW Ing Ing memenangi hadiah pacuan empat roda jenis Mitsubishi ASX selepas menyertai Peraduan Belanja dan Menang 'Drive Me Home' di pusat membeli belah Aman Central. - Foto Noorazura Abdul Rahman
LOW Ing Ing memenangi hadiah pacuan empat roda jenis Mitsubishi ASX selepas menyertai Peraduan Belanja dan Menang 'Drive Me Home' di pusat membeli belah Aman Central. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Suri rumah menang Mitsubishi ASX

ALOR SETAR: Seorang suri rumah tidak menyangka akan memenangi hadiah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi ASX bernilai RM126,010 selepas menyertai Peraduan Belanja dan Menang "Drive Me Home" di pusat beli belah Aman Central di sini.

Low Ing Ing, 33, berkata dia tidak pernah bermimpi untuk memiliki kereta seperti itu berikutan membesar dalam keluarga yang serba sederhana.

"Bapa saya cuma penjual sayur dan kami hidup serba sederhana. Selepas berkahwin saya dikurniakan tiga orang anak, selepas itulah rezeki suami saya semakin melimpah sehingga kami mampu membeli sebuah tilam berharga RM28,000 di Aman Central.

"Bagi menyertai peraduan ini, setiap belian RM100 akan dapat mengisi satu borang, jadi bayangkan saya terpaksa mengisi 280 borang tapi akhirnya berbaloi juga," katanya tersenyum lebar selepas diumum pemenang pada Majlis Cabutan Terakhir "Drive Me Home" di Aman Central, petang tadi.

Beliau berkata, dia akan memandu 'hadiah' itu untuk menghantar dan mengambil anak di sekolah.

Ing Ing sering membawa anaknya ke pasar raya itu sebaik sahaja menjemput mereka di pusat tuisyen di pusat bandar.

"Ternyata segala wang yang saya belanjakan di pasar raya ini tidak sia-sia, hari ini saya mendapat hadiah besar dan paling bermakna musim perayaan Tahun Baharu Cina ini," katanya yang tinggal di Tandop, di sini.

Ing Ing adalah antara 68 finalis yang disenarai pendek daripada 76,854 penyertaan peraduan itu yang berlangsung sejak 21 Oktober 2017 hingga 18 Februari lalu.

Dia yang menyertai kelompok lapan peserta yang disenarai sebagai dua peserta akhir untuk layak menyertai cabutan utama sebelum kunci dipilihnya berjaya menghidupkan Mitsubishi ASX.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Belleview Group, Datin Suryani iaitu isteri kepada Pengarah Urusan Belleview Group merangkap pemilik Aman Central, Datuk Sunny Ho.

Berita Harian X