Ahad, 25 Februari 2018 | 6:07pm

Hadiah rumah di Ekspo Muafakat Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah menawarkan hadiah dua unit rumah Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) bernilai lebih RM100,000 kepada pengunjung sempena Ekspo Muafakat Kedah yang sedang berlangsung di perkarangan Stadium Darul Aman.

Hadiah utama cabutan bertuah itu adalah antara 100 hadiah yang bernilai lebih RM1 juta yang ditawarkan ketika ekspo itu berlangsung mulai hari ini hingga 3 Mac depan.

Timbalan Pengarah Bahagian Unit Perancang Ekonomi Negeri Kedah (UPEN), Muhamad Mahazi Ibrahim, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka menyampaikan hadiah itu kepada pengunjung bertuah pada majlis penutup pada 3 Mac.

"Selain rumah, kita juga turut menyediakan beberapa hadiah utama lain iaitu tiga buah kereta, setiap satu dari jenama Haval, PERODUA Bezza dan PERODUA Myvi serta lima buah motosikal jenis Modenas.

"Hadiah utama ini semuanya hasil cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mahu memberikan kelainan kepada ekspo terbesar yang pernah dianjurkan oleh kerajaan negeri Kedah," katanya.

MUHAMAD Mahazi (kanan) bergambar di hadapan replika rumah dan kereta cabutan bertuah bagi pengunjung Ekspo Muafakat Kedah. - Foto Noorazura Abdul Rahman
MUHAMAD Mahazi (kanan) bergambar di hadapan replika rumah dan kereta cabutan bertuah bagi pengunjung Ekspo Muafakat Kedah. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Mengulas lanjut, Muhamad Mahazi berkata cabutan bertuah akan dilakukan dua kali sehari sepanjang ekspo itu berlangsung iaitu pada jam 1 dan 6 petang yang menawarkan pelbagai hadiah berupa barangan elektronik dan gajet.

Katanya, setiap pengunjung layak untuk menyertai cabutan bertuah asalkan mereka melawat kesemua 20 kluster di tapak ekspo berkenaan.

"Pengunjung perlu mendaftar terlebih dahulu untuk mendapatkan buku pasport, kemudian perlu melawat 20 kluster dan dapatkan cop di kluster.

"Sesiapa sahaja layak mendapatkan pasport itu, walaupun rakyat negeri lain yang berkunjung ke sini, setelah mereka melengkapkan cop di kluster, maka mereka layak untuk menyertai hadiah cabutan bertuah," katanya.

Beliau berkata ekspo itu bertujuan mengeratkan hubungan antara rakyat dengan kerajaan negeri menerusi acara dan program yang disusun.

Sementara itu, bagi pasangan muda atau individu yang masih mencari kediaman idaman, Ekspo Muafakat Kedah adalah tempat terbaik untuk dituju kerana terdapat 6,462 unit hartanah yang ditawarkan pada harga diskaun sehingga 20 peratus.

Pengunjung yang bertuah adalah Syed Farhan Afis Syed Mustapha, 31, teruja apabila ditawarkan rumah idamannya pada potongan harga 30 peratus menerusi skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

PENGUNJUNG, Syed Farhan Afis bersama isterinya, Tengku Intan Safura melihat model rumah Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) di Ekspo Muafakat Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam
PENGUNJUNG, Syed Farhan Afis bersama isterinya, Tengku Intan Safura melihat model rumah Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) di Ekspo Muafakat Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Syed Farhan yang mendirikan rumah tangga bersama Tengku Intan Safura Tengku Mahmud, 35, tiga tahun lalu, sememangnya sedang mencari rumah.

Bagaimanapun, dia mengakui cabaran untuk mendapatkan rumah idaman pada harga yang sesuai dengan bajetnya.

"Jadi apabila adanya ekspo ini, saya bersama isteri tidak melepaskan peluang untuk datang ke sini dan melihat tawaran perumahan yang disediakan kepada orang ramai, khususnya penjawat awam.

"Alhamdulillah, saya menemui rumah idaman lot tepi berharga RM385,000 di Kubang Rotan dengan tawaran diskaun sebanyak 30 peratus berbanding harga pasaran," katanya.

Berita Harian X