Sabtu, 24 Februari 2018 | 2:28pm

Ekspo muafakat pamer kejayaan Kedah

ALOR SETAR: Penganjuran Ekspo Muafakat Kedah 2018 di pekarangan Stadium Darul Aman bermula hari ini, adalah platform penting memperlihatkan kejayaan dan perancangan masa depan kerajaan negeri bawah Barisan Nasional (BN) untuk rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata ekspo itu membolehkan pengunjung, terutama rakyat Kedah, melihat sendiri kejayaan pentadbiran kerajaan negeri melalui pameran 20 kluster membabitkan 119 jabatan kerajaan.

Beliau berkata, program lapan hari itu mempamerkan pelbagai polisi realistik dan pencapaian berjaya dilaksanakan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama isteri, Datin Seri Hamidah Khamis (tiga dari kiri) serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kiri) melawat galeri Diraja Kedah ketika hadir pada majlis perasmian Ekspo Muafakat Kedah di Pekarangan Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

"Ekspo ini membuktikan kita memberi perkhidmatan terbaik dalam memenuhi aspirasi rakyat dan objektif demi kemakmuran negeri.

"Sepanjang pentadbiran BN, Kedah merekodkan pelbagai pencapaian, termasuk pertumbuhan industri pembuatan, pertanian dan pelancongan.

"Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat, Namun, pameran ini adalah bukti bahawa dasar yang kita janjikan, boleh dicapai dan praktikal untuk dilaksanakan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Muafakat Kedah di sini, hari ini.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan kanak-kanak Tadika Ummi, Taman Rakyat, ketika melawat gerai pameran selepas perasmian Ekspo Muafakat Kedah di Pekarangan Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Ekspo itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Bashah berkata, Kedah memiliki pelbagai potensi boleh diterokai seperti agropelancongan, kebudayaan, pelancongan warisan dan kesihatan.

"Setiap daerah ada keunikan tersendiri seperti Kota Setar sebagai pusat kebudayaan serta warisan dan Kubang Pasu lembah ilmu, manakala Baling serta Padang Terap kluster alam semula jadi," katanya.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) melawat gerai pameran Ekspo Muafakat Kedah di Pekarangan Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid

Ahmad Bashah berkata, tema 'Muafakat' dominan sepanjang zaman yang membawa semangat dalam kalangan pesawah memastikan Kedah terus menghasilkan 37 peratus sumber bekalan makanan negara.

"Kita akan mempertahankan mandat diberi rakyat kerana matlamat kerajaan negeri sangat jelas dalam memastikan kebajikan rakyat dipelihara dan terus membangunkan Kedah," katanya.

Ekspo dimeriahkan antara lain dengan hadiah rumah menanti pengunjung bertuah, di samping 100 aneka hadiah menarik seperti kereta, motosikal, barangan elektronik, pakej penginapan dan baucar dekorasi rumah.

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Ekspo Muafakat Kedah di Pekarangan Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Ekspo Muafakat Kedah di Pekarangan Stadium Darul Aman. - Foto Amran Hamid
Berita Harian X