Jumaat, 23 Februari 2018 | 6:30pm

Rumah menanti pengunjung Ekspo Muafakat Kedah

ALOR SETAR: Sebuah rumah menanti pengunjung bertuah Ekspo Muafakat Kedah, yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini, bermula esok.

Malah, lebih 100 hadiah lain seperti kereta, motosikal dan barangan elektronik turut menanti pengunjung sepanjang ekspo, yang berlangsung selama seminggu sehingga 3 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja ekspo, Isahak Murad, berkata syarat yang melayakkan pengunjung menyertai cabutan bertuah, mudah iaitu hanya perlu melawat 20 kluster di tapak ekspo.

"Pengunjung perlu mendaftar di kaunter pendaftaran, yang mana pengunjung akan diberikan buku pasport.

"Kemudian, pengunjung perlu melawat 20 kluster dan dapatkan cop di setiap kluster berkenaan.

"Pengunjung tidak perlu dapatkan semua cop berkenaan dalam tempoh sehari, sebaliknya sepanjang program berlangsung bermula esok sehingga 3 Mac ini," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Isahak berkata, ekspo juga memberi manfaat kepada pengunjung yang ingin memiliki kediaman sendiri, dengan 6,000 unit rumah ditawarkan oleh beberapa pemaju.

"Orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pemaju, selain boleh membuat semakan status kelayakan," katanya yang turut menyasarkan lebih 400,000 pengunjung akan hadir ke eskpo berkenaan.

Kluster yang akan ditampilkan adalah Pameran Diraja, BARAKAH Kedah, Suara Hati, Generasi Muda Pemimpin Negara, Kedah Harmoni, Eko Kedah, Kedah Islami, Bakat Kedah, Kedah Aman, Rangkaian Kedah, Kedah Berdaya Huni, Digital Kedah dan Kedah Holistik.

Selain itu, Kewangan, Agro Kedah, Kedah Bizz, Warisan dan Pelancongan, Pameran Perkhidmatan, Pameran Daerah dan 'Petting Zoo'.

Ekspo dimeriahkan dengan kehadiran Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Mustapha dan tokoh usahawan serta selebriti popular seperti Fattah Amin, Fizo Omar, Rozita Che Wan serta Janna Nick.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai yang ingin ke ekspo supaya meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan penganjur.

Antaranya, sepanjang Lebuhraya Darul Aman, tempat letak kereta hospital lama dan sepanjang Jalan Tun Razak hingga bulatan Jalan Stadium.

Orang ramai juga boleh meletakkan kenderaan di tapak letak kereta kolam renang Majlis Bandaraya Alor Setar dan tempat letak kereta tambahan di belakang Hotel Seri Malaysia.

ISAHAK Murad (tengah) meninjau persiapan Eskpo di Perkarangan Stadium Darul Aman yang akan diadakan pada 24 Februari ini. - Foto Amran Hamid
ISAHAK Murad (tengah) meninjau persiapan Eskpo di Perkarangan Stadium Darul Aman yang akan diadakan pada 24 Februari ini. - Foto Amran Hamid
Berita Harian X