Khamis, 22 Februari 2018 | 6:30pm
PETUGAS khas membuat persiapan sempena Festival GegaRia edisi ketiga di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang

GegaRia Kuantan sasar lebih 30,000 pengunjung

KUANTAN: Festival GegaRia edisi ketiga yang bakal berlangsung di perkarangan Stadium Darul Makmur, di sini, esok, dijangka menarik lebih 30,000 pengunjung.

Koordinator program merangkap Pengurus Pengiklanan The New Straits Times Press (M) Bhd, Mohd Anis Abdullah, berkata sasaran itu mampu direalisasikan berdasarkan sambutan diterima dalam dua edisi sebelum ini yang dianjurkan di Selangor dan Johor.

Beliau berkata, edisi pertama di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam berjaya menarik 25,000 pengunjung, manakala pada edisi kedua yang dijayakan di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru pada 3 Februari lalu menarik kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung.

"Kita yakin sasaran lebih 30,000 pengunjung mampu direalisasikan dan hingga kini kita sudah menerima pendaftaran 800 peserta yang terbabit dalam festival ini.

"Penampilan beberapa artis terkemuka tanah air seperti Mira Filzah, Elfira Loy, Awal Ashaari dan Scha Alyahya bakal menjadikan edisi ketiga ini digamatkan dengan kehadiran lebih ramai pengunjung terutama generasi muda," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, festival yang bakal membuka tirai seawal jam 7.30 pagi esok dibahagikan kepada lima zon utama iaitu Zon Makan-Makan, Zon Gaya Hidup, Zon Hiburan, Zon Komuniti dan Zon Throwback Tunnel.

Katanya, orang ramai terutama umat Islam yang hadir ke tapak festival tidak perlu bimbang kerana penganjur turut menyediakan surau bergerak dan kawasan medan selera yang selesa untuk menjamu selera.

"Pengunjung yang hadir turut berpeluang beramah mesra dengan Awal Ashaari dan Scha Alyahya, selain menyertai beberapa permainan tradisional dan interaktif," katanya.

Mohd Anis berkata, festival anjuran kumpulan Media Prima Berhad itu turut menganjurkan pertandingan permainan dalam talian atau e-games iaitu League of Legends kepada pengunjung.

Katanya, acara kemuncak paling dinantikan pengunjung ialah konsert yang dijangka bermula jam 8.45 malam dengan menampilkan artis popular seperti Akim & The Majistret, Bunkface, Masdo dan Noh Salleh.

"Lencana butang akan diedarkan secara percuma kepada pengunjung yang aktif terbabit dalam aktiviti yang kita anjurkan seperti menyertai permainan congkak dan permainan dalam talian. Lencana butang itu boleh ditukar di kawasan tapak festival untuk mereka mendapatkan makanan percuma," katanya.

Festival GegaRia ialah acara hipster pelbagai elemen gaya hidup dengan fokus utama generasi muda yang boleh dikongsi melalui hashtag #gogegaria #gegariafest #festivalgegaria.

INFO

# Zon Komuniti menyediakan aktiviti berkaitan pendaftaran pemilih SPR, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan dan mata, kaunter KWSP

# Pelbagai aktiviti merangkumi bidang gaya hidup, demo kecantikan, kerjaya, keusahawanan, permainan dalam talian ditawarkan kepada pengunjung.

# Antara selebriti terkenal turut memeriahkan festival GegaRia ialah JinnyboyTV - Reuben, Arwind, Faiz Dickie, Mira Filzah, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya, Elfira Loy, kumpulan DeFam, Noh Salleh dan Akim & The Majistret, Bunkface dan Kugiran Masdo

Berita Harian X