Khamis, 15 Februari 2018 | 7:10pm
MENTERI Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) bergambar dengan para tetamu selepas melancarkan Logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira ATM hari ini. Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. - Foto BERNAMA
MENTERI Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (tengah) bergambar dengan para tetamu selepas melancarkan Logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira ATM hari ini. Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. - Foto BERNAMA

ATM, TNI teruskan keakraban

KUALA LUMPUR: Keakraban dan hubungan baik antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) diharap terus kekal dan dipertingkatkan walaupun pemerintah tertinggi TNI bakal bersara wajib, April ini.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berharap hubungan baik dua negara itu berterusan walaupun rakan sejawatnya, Panglima TNI, Jeneral Gatot Nurmantyo, bakal menamatkan perkhidmatan.

"Hubungan saya dengan Jeneral Gatot memang akrab dan saya berharap hubungan baik seperti ini dapat diteruskan untuk terus mensejahterakan kedua-dua negara.

"Ini bukan perpisahan, saya yakin kami akan terus berhubung mengenai usaha lain yang boleh dilakukan bagi menjaga hubungan yang sedia terjalin ini," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Jeneral Gatot di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Sementara itu, Gatot berkata, usaha menjaga hubungan baik sedia ada akan diteruskan bakal penggantinya.

"Saya berharap pengganti saya akan menjalankan tugasnya untuk meneruskan legasi yang bakal saya tinggalkan.

"Saya juga berharap pihak tentera Malaysia memberi layanan baik kepada pengganti saya, malah diharap lebih lagi daripada apa yang saya terima," katanya.

Terdahulu, Gatot melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Turut hadir Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri Affendi Buang.

Berita Harian X