Rabu, 31 Januari 2018 | 6:56pm
ABDUL Aziz Remnelan, 25. - Foto Mohd Latif Ahmad
ABDUL Aziz Remnelan, 25. - Foto Mohd Latif Ahmad

Nurnadia sempat seminggu jadi pengawas

KUCHING: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong II, Nurnadia Syakilla Remnelan, 9, sempat menjadi pengawas selama seminggu sebelum terkorban bersama bapanya, Remnelan Samat, 55, dalam kemalangan ngeri di Samalaju, Bintulu pagi semalam.

Abangnya, Abdul Aziz Remnelan, 25, berkata adik bongsunya cukup bersemangat ke sekolah sejak dilantik sebagai pengawas sejak seminggu lalu, malah tidak menyangka perubahan sikapnya itu petanda arwah akan pergi buat selamanya.

"Sejak dilantik sebagai pengawas, setiap hari Adik bangun awal dan bersiap kerana tidak mahu lewat tiba di sekolah yang terletak agak jauh dari rumah kami.

"Cukup bersemangat arwah mahu ke sekolah, malah hampir setiap hari bercerita mengenai tugas baharunya itu. Tidak sangka perubahan Adik itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolong 1 di Matang, di sini pagi tadi.

Terdahulu, suasana sedih menyelubungi kawasan tanah perkuburan itu ketika jenazah dua sekeluarga itu dikebumikan dalam satu liang, jam 11.25 pagi tadi.

Lebih 200 ahli keluarga, termasuk jiran tetangga menghadiri majlis pengebumian itu.

Malah, ada yang turut membantu menenangkan isteri Remnelan, Yuslismitatik Yanto, 50, yang kelihatan begitu hiba ketika menyaksikan jenazah suami dan anak bongsunya diturunkan ke liang lahad.

Abdul Aziz berkata, kali terakhir dia menemui bapa dan adik bongsunya ketika bersarapan di rumah sebelum mereka ke sekolah.

SEKITAR majlis pengebumian jenazah dua sekeluarga dalam kemalangan ngeri membabitkan bas sekolah dan lori kargo di Samalaju, Bintulu. - Foto Mohd Latif Ahmad
SEKITAR majlis pengebumian jenazah dua sekeluarga dalam kemalangan ngeri membabitkan bas sekolah dan lori kargo di Samalaju, Bintulu. - Foto Mohd Latif Ahmad

"Ayah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, malah sentiasa ceria dan sesekali bergurau senda dengan kami sekeluarga ketika makan bersama," katanya sambil menahan sebak.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi semalam, Remnelan bersama anak bongsunya itu dan seorang lagi murid SK Kidurong II, Aien Laila Alesha Abdullah, 11, maut selepas bas sekolah dinaiki mereka merempuh bahagian belakang lori membawa muatan besi paip di Kilometer 12 Jalan Pesisir Miri - Bintulu berhampiran Ladang Sebubu, Samalaju.

Ketika kejadian, bas berkenaan yang membawa 22 murid SK Kidurong II dalam perjalanan dari Samalaju ke sekolah berkenaan sebelum merempuh bahagian belakang lori itu yang diletakkan di bahu jalan kerana rosak.

Impak pelanggaran yang kuat menyebabkan Remnelan tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

Aien Laila pula dilaporkan meninggal dunia ketika diberikan rawatan kecemasan oleh pasukan paramedik di lokasi nahas, manakala Nurnadia meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bintulu.

Berikutan kejadian itu, pemandu lori berkenaan berusia dalam lingkungan 20-an ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X