Sabtu, 27 Januari 2018 | 5:41pm
MOHD Noh Jidin pada sidang media selepas Konvensyen Akauntan Nasional di UTM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias
MOHD Noh Jidin pada sidang media selepas Konvensyen Akauntan Nasional di UTM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Cadangan CSAP ditolak

KUALA LUMPUR: Konvensyen Akauntan Nasional menolak cadangan Jawatankuasa Memperkukuh Profesion Perakaunan (CSAP) untuk menarik balik pengiktirafan ijazah perakaunan di 18 universiti di negara ini, hari ini.

Presiden Persatuan Firma Akauntan Bertauliah Melayu Malaysia (AMCAF), Mohd Noh Jidin, berkata resolusi dicapai selepas CSAP hanya mahu mengiktiraf mereka yang mengambil peperiksaan perakaunan daripada badan profesional di luar negara.

Beliau berkata, langkah itu akan mewujudkan jurang dengan graduan perakaunan yang menerima pengiktirafan di universiti tempatan.

"Kita sepatutnya mencontohi Singapura yang mana graduan tempatan cuma perlu mengambil ujian tambahan dan mendapatkan pengiktirafan penuh peperiksaan berkenaan daripada badan profesional tanpa perlu menduduki peperiksaan di luar negara.

"Peperiksaan di luar negara bermakna kena bayar yuran pendaftaran, yuran peperiksaan dan yuran tahunan mengikut mata wang asing sedangkan di Malaysia tidak perlu semua itu.

"Bantahan ini bertujuan memudahkan keadaan, sekali gus mengurangkan kos ditanggung penuntut terbabit," katanya pada sidang media di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden AMCAF, Afrizan Tarmili Khairul Azhar; Setiausaha Agung AMCAF, Mohd Nasri Ismail dan wakil Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Halim Husin.

Berita Harian X