Khamis, 18 Januari 2018 | 6:43pm
DR Mat Naim Ramli.- Foto Surianie Mohd Hanif
DR Mat Naim Ramli.- Foto Surianie Mohd Hanif

'Panda perlu pasangan sesuai, makanan elok untuk mengawan'

KUALA LUMPUR: Pemantauan secara menyeluruh terhadap perkembangan dan tingkah laku pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang menjadi rahsia utama pembiakan subur haiwan berkenaan.

Pengarah Zoologi Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli, berkata pelbagai faktor perlu diambil kira bagi memastikan tahap kesuburan haiwan berada dalam keadaan optimum, selain keadaan persekitaran yang baik.

Bagi panda betina, katanya, antara perkara mempengaruhi adalah keakraban hubungan ibu dan anak kerana selagi mereka tidak dipisahkan, panda betina tidak akan mencapai tahap kesuburan tinggi.

"Pembiakan kali kedua pasangan Xing Xing dan Liang Liang lebih mudah kerana sebagai haiwan dalam kurungan, mereka sudah mempunyai pengalaman bersama.

"Sebaik kita memisahkan Liang Liang dengan anak sulungnya, Nuan Nuan, bermula Ogos tahun lalu, si ibu mula menunjukkan tanda untuk mengawan dua bulan selepas itu.

"Dalam tempoh itu pelbagai usaha dijalankan seperti mengambil sampel darah dan contoh sel pada bahagian organ pembiakan.

"Kita juga memantau bunyi yang dihasilkan untuk mengawan kerana tempoh subur haiwan ini hanya setahun sekali iaitu selama 36 jam," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Dr Mat Naim berkata, antara perubahan ketara dapat dilihat dalam tempoh itu selera makan Liang Liang menurun iaitu daripada pengambilan 30 kilogram (kg) makanan setiap hari kepada hanya enam kg.

Katanya, agak sukar untuk mengetahui tahap kesuburan panda terbabit, namun beberapa ujian dan pemantauan yang dilakukan secara konsisten membolehkan pasukan veterinar memilih masa tepat bagi pasangan itu mengawan.

"Rahsia pembiakan yang berkesan adalah pasangan sesuai dan makanan berkualiti serta mencukupi.

"Selain itu, haiwan ini juga perlu dipastikan sihat manakala persekitarannya tidak diganggu," katanya.

Xing Xing dan Liang Liang masing-masing dilahirkan pada 26 Ogos 2006 dan kini berusia 12 tahun.

Pasangan itu yang sebelum ini dikenali sebagai Fu Wa dan Feng Yi ketika berada di China, tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 sempena sambutan hubungan diplomatik 40 tahun kedua-dua negara.

Sejak itu, mereka ditempatkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi di Zoo Negara.

Pada 14 Januari lalu, Liang Liang melahirkan anak keduanya seberat 150 gram pada jam 7.50 pagi, sekali gus mencatat sejarah bagi Program Konservasi Panda Gergasi negara.

Perkhabaran itu mengejutkan ramai pihak kerana panda terbabit bunting dalam tempoh 15 bulan selepas kelahiran yang pertama.

Nuan Nuan yang juga anak pertama pasangan panda itu, dilahirkan pada 18 Ogos 2015 sebelum dihantar pulang ke China pada 14 November tahun lalu sebagai memenuhi syarat perjanjian kedua-dua negara.

INFO

* Panda tidak lagi berada dalam kategori spesies terancam

* Dianggarkan 50 ekor panda dilahirkan setiap tahun

* Seekor panda betina mampu melahirkan antara lima hingga enam ekor panda

* Jangka hayat seekor panda antara 28 hingga 33 tahun

Berita Harian X