X
Rabu, 10 Januari 2018 | 6:06pm

Tok Dalang wayang kulit Kelantan meninggal dunia

KOTA BHARU: Tok dalang wayang kulit Kelantan, Hashin Ludin atau dikenali sebagai Pok Nik Mat Suara Emas meninggal dunia akibat kanser paru-paru petang tadi.

Allahyarham berusia 66 tahun meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian jam 2.45 petang.

Isterinya, Ramlah Daud, 62, berkata suaminya dimasukkan ke HUSM sejak 1 Januari lalu apabila menghidap penyakit kanser paru-paru sejak Oktober tahun lalu semakin teruk.

"Sejak disahkan menghidap kanser paru-paru, ini kali pertama suami dimasukkan ke hospital dan keadaannya semakin teruk apabila merebak ke leher.

"Dalam tempoh dimasukkan ke hospital, suami hanya sedar selama empat hari saja sebelum meninggal dunia hari ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ramlah berkata, suaminya aktif dalam aktiviti wayang kulit sejak usia muda sehinggalah disahkan menghidap kanser.

"Sebelum ini suami banyak menerima jemputan untuk membuat persembahan dan hanya berhenti apabila disahkan menghidap kanser.

"Jenazah suami akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemasin, Bachok malam ini," katanya.

Allahyarham antara lima orang dalang wayang kulit yang masih bergiat di Kelantan, termasuk membimbing generasi muda menguasai seni tradisional ini.

Di pinggir rumahnya turut dijadikan Laman Seni Rakyat yang diwujudkan dengan bantuan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan, bagi membolehkan beliau menyemai kecintaan dan kemahiran kepada mereka.

Berita Harian X