Sabtu, 6 Januari 2018 | 2:20pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, Chukai, hari ini. - Foto Ghazali Kori
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek beramah mesra dengan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, Chukai, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Perluas sistem pra-pendaftaran banjir ke seluruh negara

CHUKAI: Sistem pra-pendaftaran, selain pendaftaran mangsa banjir secara dalam talian yang diamalkan di Kemaman boleh diperluaskan ke peringkat nasional, kerana mampu menjadikan proses penempatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) lebih cekap dan tersusun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kaedah pendaftaran tanpa kertas itu sudah dilakukan di daerah Kemaman dan nyata banyak membantu memudahkan proses penempatan mangsa banjir di PPS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman, berkata pengumpulan data dan pra-pendaftaran terhadap mangsa banjir juga diamalkan di kawasannya.

"Kita melakukan persediaan sehingga 40,000 mangsa dengan 78 pusat pemindahan disediakan pada tahap bencana terburuk.

"Sebab itu kita mengadakan beberapa sistem supaya segala urusan, termasuk makanan bukan hanya untuk mangsa, tetapi juga kepada pihak sokongan seperti tentera, polis dan agensi yang membantu mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata, pihaknya juga berpuas hati terhadap persediaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan memperkenalkan beberapa komponen kemudahan baru di PPS.

"Kita dapat lihat ada disediakan lampin pakai buang, berus dan ubat gigi serta persediaan tempat yang lebih selesa kepada mangsa banjir.

"Keadaan ini dapat menggalakkan mangsa banjir berpindah lebih awal ke PPS kerana sebelum ini mereka tidak mahu berbuat demikian kerana beranggapan PPS tidak selesa serta tiada kemudahan mencukupi," katanya.

Berita Harian X