Selasa, 26 Disember 2017 | 12:57pm
KETUA Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal. - Foto Asyraf Hamzah
KETUA Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal. - Foto Asyraf Hamzah

Laporan penilaian EIA MyHSR dipamer esok

KUALA LUMPUR: Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) MyHSR Corporation Sdn Bhd, bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (KL-SG HSR), akan dipamerkan kepada umum, bermula esok sehingga 25 Januari ini.

MyHSR Corp berkata, laporan itu akan dipamerkan bagi tontonan umum di beberapa tempat, termasuk ibu pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pejabat JAS negeri JAS di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, serta pejabat pihak berkuasa tempatan lain, di sepanjang jajaran KL-SG HSR.

"Orang ramai diminta untuk memberi maklum balas dan komen berdasarkan penelitian mereka terhadap laporan EIA itu ke ibu pejabat JAS sebelum 9 Februari 2018," kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Kajian EIA itu merangkumi pelbagai penilaian, termasuk kualiti udara, bunyi dan getaran, sisa buangan, kualiti air, hidrolik pantai, ekologi laut dan darat, hidrologi, geologi, lalu lintas, penilaian risiko bahaya, kesihatan dan keselamatan awam, penilaian ekonomi dan visual.

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, berkata syarikat itu menggariskan langkah yang perlu untuk menangani dan meminimum potensi kesan bagi semua fasa projek terbabit, merangkumi sebelum pembinaan, kerja pembinaan dan operasi.

"Kami mengalu-alukan orang ramai untuk memberikan maklum balas mengenai dapatan laporan EIA itu dan laporan terbabit, kemudiannya akan dikemas kini untuk memasukkan maklum balas yang dikumpul daripada orang ramai dan akan diserahkan kepada JAS untuk pertimbangan kelulusan," katanya.

Semasa tempoh pameran umum itu, salinan laporan disediakan untuk dijual dengan harga RM4,000 bagi satu salinan di pejabat Minconsult Sdn Bhd.

Orang ramai juga boleh melihat laporan itu di laman web JAS di www.doe.gov.my dan laman web MyHSR Corp di www.myhsr.com.my.

Projek HSR membabitkan lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Stesen di Singapura bertempat di Jurong Timur. Ia dijangka bermula pada 31 Disember 2026.

Berita Harian X