Jumaat, 22 Disember 2017 | 6:57pm
JOHAN Ishak (kiri) bersama Prof. Dr Muliyadi Mahamood (kanan) melihat karya-karya koleksi yang berintipatikan tema KLB17 iaitu 'Alami Belas' ketika melakukan lawatan ke Majlis Perasmian Pameran 50AD UiTM sempena KL Biennale 2017 di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ) UiTM Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
JOHAN Ishak (kiri) bersama Prof. Dr Muliyadi Mahamood (kanan) melihat karya-karya koleksi yang berintipatikan tema KLB17 iaitu 'Alami Belas' ketika melakukan lawatan ke Majlis Perasmian Pameran 50AD UiTM sempena KL Biennale 2017 di Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ) UiTM Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Masyarakat harus hargai karya seni

SHAH ALAM: Penghargaan terhadap seni harus dipupuk dalam kalangan rakyat negara ini bagi memartabat dan menonjolkan hasil karya tempatan yang bernilai tinggi.

Pengerusi KL Biennale 2017, Johan Ishak, berkata majoriti masyarakat ketika ini masih kurang menyedari akan nilai atau makna 'indah' di sebalik karya seni, sekali gus menyebabkan mereka kurang menghargai produk berkenaan.

"Usaha memupuk kesedaran terhadap seni perlu dipergiatkan pihak berkaitan seperti agensi kerajaan, badan korporat dan institusi pendidikan.

"Seni tidak boleh dianaktirikan kerana memiliki kepentingan tinggi sama seperti bidang lain, contohnya teknologi yang mampu memajukan negara dan meningkatkan taraf hidap masyarakat.

"Elemen kehidupan masyarakat seperti kulinari, pakaian dan muzik berteraskan seni, justeru sikap menghargai serta memartabatkan bidang ini akan membantu menggalakkan kemajuan negara," katanya.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad berkata demikian selepas merasmikan Pameran 50AD UiTM Sempena KL Biennale 2017 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Dekan (Pendidikan & Inovasi) Fakulti Seni Lukis & Seni Reka UiTM Shah Alam, Prof Madya Dr Oskar Hasdinor Hassan, dan Ahli Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Prof Dr Muliyari Mahamood.

Dianjurkan Balai Seni Negara, KL Biennale 2017 adalah pameran julung kali bertaraf antarabangsa bertujuan melonjak seni visual tanah air seperti lukisan, seni cetak, catan, arca, seramik, video, tekstil dan fotografi yang dipertontonkan kepada umum.

Selain acara utama yang diadakan di Balai Seni Negara hingga Mac tahun depan, KL Biennale 2017 turut menyaksikan beberapa lokasi galeri pameran satelit paralel, iaitu Galeri Seni Tuanku Nur Zahirah (GESTURZ) UiTM Shah Alam mempamerkan 69 karya dihasilkan alumni mulai hari ini hingga 12 Januari 2018.

Selain itu, Soka Gakkai Hall, Galeri Universiti Putra Malaysia (UPM), Galeri Ilham Kuala Lumpur, Galeri PETRONAS; Galeri Prima dan Mytown Shopping Centre.

Johan berkata, di samping memperlihatkan kekayaan koleksi dihasilkan pengkarya tempatan, KL Biennale 2017 yang bertema 'Alami Bebas' merangkumi pameran berteraskan lima nilai kemanusiaan, iaitu Belas Insan, Belas Haiwan, Belas Warisan, Belas Alam dan Belas Kerohanian.

"Pameran ini menampilkan nilai positif di sebalik sikap rakyat Malaysia melalui karya," katanya.

Berita Harian X