Jumaat, 1 Disember 2017 | 10:17am
ZULKIFLI Ya, bersama isterinya yang lumpuh Noriza Mat Yusuf, mula berpindah di Pusat Pemindahan Semntara (PPS) di SK Gual Tinggi setelah rumah mereka di Jalan Sekolah Cina di naiki air. - Foto FAthil Asri
ZULKIFLI Ya, bersama isterinya yang lumpuh Noriza Mat Yusuf, mula berpindah di Pusat Pemindahan Semntara (PPS) di SK Gual Tinggi setelah rumah mereka di Jalan Sekolah Cina di naiki air. - Foto FAthil Asri

Banjir: Pasangan uzur berpindah awal demi keselamatan

RANTAU PANJANG: Menyedari rumahnya sering dinaiki air, pasangan suami isteri yang lumpuh dan uzur membuat keputusan berpindah awal ke pusat pemindahan sebelum kediaman mereka ditenggelami banjir di Jalan Sekolah Cina, di sini.

Noriza Mat Yusuf, 43, yang lumpuh bawah paras pinggang sejak 10 tahun lalu bersama suami, Zulkifli Ya, 50, menghidap kencing manis kronik dan mengalami masalah rabun antara terawal mula berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejak empat hari lalu.

Noriza berkata, tindakan itu dibuat kerana dia tidak mahu menyusahkan dan menyukarkan agensi keselamatan untuk menyelamatkan mereka pada saat akhir sebelum rumahnya ditenggelami air sedalam satu meter.

"Memandangkan saya dan suami tidak begitu sihat dan uzur, kami mengambil keputusan berpindah ke PPS lebih awal dengan meminta bantuan anak menaiki kereta ke sini.

"Semua persiapan awal sudah dilakukan seperti menyimpan dokumen penting dan menyelamatkan barangan berharga kerana rumah saya di Jalan Sekolah Cina, di sini, memang dinaiki air separas satu meter setiap kali banjir.

"Dengan keadaan saya yang tidak boleh berjalan dan suami yang uzur, saya risau jika terus berada di rumah kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku ketika banjir," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, di sini.

BH Online semalam melaporkan keadaan banjir di Rantau Panjang beransur pulih, namun masih terdapat kawasan yang dinaiki air dengan paras agak tinggi ditambah dengan hujan yang kembali lebat sejak malam tadi.

Noriza berkata, sekurang-kurangnya tindakan dia dan suami mampu mengurangkan beban agensi keselamatan yang pastinya dipenuhi dengan pelbagai tugasan ketika bencana banjir.

"Di PPS ini keselamatan serta makan minum lebih terjamin dengan bantuan ramai sukarelawan yang ada setiap masa. Malah, kakitangan perubatan juga sedia berkhidmat jika diperlukan.

"Rasa risau dan takut sedikit hilang bila saya di sini kerana tahu ramai yang akan membantu. Apa yang bakal terjadi pada barangan di rumah, saya reda sahaja yang penting kami selamat," katanya.

Berita Harian X