Selasa, 28 November 2017 | 9:36am
MANGSA banjir di Terengganu terus meningkat kepada 936 orang. - Foto BERNAMA
MANGSA banjir di Terengganu terus meningkat kepada 936 orang. - Foto BERNAMA

Mangsa banjir Terengganu kini 936 orang

KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di negeri ini terus meningkat kepada 936 orang membabitkan 32 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berbanding 542 orang yang dilaporkan malam tadi.

Berdasarkan kemaskini yang dikeluarkan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Marang menjadi daerah terbaharu yang terjejas apabila 2 PPS dibuka membabitkan 59 mangsa.

Hulu Terengganu menjadi daerah paling teruk terjejas apabila 20 PPS dibuka sehingga jam 7 pagi tadi membabitkan 515 mangsa yang terdiri daripada 20 keluarga.

Selain itu, berdasarkan maklumat terbabit, empat PPS masih kekal beroperasi di Dungun yang menempatkan 138 mangsa apabila rumah mereka dinaiki air sejak petang semalam.

Di Setiu, terdapat 185 mangsa yang masih mendapatkan perlindungan di lima PPS membabitkan 47 keluarga manakala mangsa banjir di Besut masih kekal 39 orang dengan satu PPS diaktifkan.

Sementara itu, tiga sungai utama di Terengganu iaitu Sungai Nerus, Setiu, Sungai Marang, Marang dan Sungai Telemong, Hulu Terengganu mencatatkan bacaan pada paras bahaya.

Berdasarkan kemas kini di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, paras air di Sungai Nerus dekat Kampung Langkap, Setiu sudah melepasi paras bahaya iaitu 22.11 meter.

Selain itu, paras air Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan juga sudah melepasi paras bahaya apabila mencatatkan bacaan 3.18 meter iaitu peningkatan sebanyak 0.13 meter manakala terbaharu, Sugai Telemong di Kuala Ping juga naik mendadak kepada 21.01 meter.

Berita Harian X