Selasa, 28 November 2017 | 9:07am
KELIHATAN penduduk meredah air banjir, semalam, apabila kampung mereka dinaiki air apabila hujan lebat berterusan di Kampung Hutan Pasir Ketereh, Kota Bharu. - Foto BERNAMA
KELIHATAN penduduk meredah air banjir, semalam, apabila kampung mereka dinaiki air apabila hujan lebat berterusan di Kampung Hutan Pasir Ketereh, Kota Bharu. - Foto BERNAMA
PENDUDUK Mazlan Abdullah, 50, bersama anaknya Muhammad Zulhilmi Mazlan, 15, mengangkat kerusi di rumahnya di Taman D Melor Kampung Hutan Pasir Ketereh, Kota Bharu. - Foto BERNAMA
PENDUDUK Mazlan Abdullah, 50, bersama anaknya Muhammad Zulhilmi Mazlan, 15, mengangkat kerusi di rumahnya di Taman D Melor Kampung Hutan Pasir Ketereh, Kota Bharu. - Foto BERNAMA

Mangsa banjir di Kelantan meningkat 1,567 orang

KOTA BHARU: Hujan lebat berterusan menyebabkan bilangan mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 1,567 orang dengan 28 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sehingga pagi ini.

Daripada jumlah itu, 436 keluarga terbabit ditempatkan di PPS di tujuh daerah iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai, Pasir Mas dan Bachok.

Berdasarkan portal eBanjir Kelantan, sehingga jam 8 pagi, Kota Bharu mencatatkan mangsa banjir paling tinggi iaitu 567 orang membabitkan 141 keluarga yang ditempatkan di lima PPS.

Pasir Mas pula merekodkan jumlah pusat pemindahan paling banyak iaitu 11 setakat pagi ini termasuk di Sekolah Menengah Agama (Arab) Lati, Gual Periuk dan Sekolah Kebangsaan Kepas di Kangkong yang baru dibuka pada jam 1 pagi tadi.

Berikutan itu, daerah terbabit mencatat bilangan mangsa banjir kedua tertinggi dengan peningkatan kepada 417 mangsa banjir daripada 125 keluarga.

Pasir Puteh pula mencacatkan 258 mangsa banjir daripada 81 keluarga yang dipindahkan di tiga pusat pemindahan.

Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa memandangkan cuaca hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu lalu.

Sementara itu, Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya iaitu 10.06 meter berbanding paras bahaya ditetapkan 9 meter.

Empat sungai iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Golok di Jenob dan Sungai Golok di Jenob berada pada paras amaran, manakala dua lagi sungai iaitu Sungai Kelantan di Kusial dan Sungai Golok di Kuala Jambu berada pada paras berjaga-jaga.

Berita Harian X