Isnin, 27 November 2017 | 4:54pm
WARTAWAN New Straits Times, Farrah Naz Karim (kiri) dan Aliza Shah Muhammad Shah (kanan) memenangi hadiah Kajai pada Malam Wartawan Malaysia 2016 di Hotel Majestic. - Foto Asyraf Hamzah
WARTAWAN New Straits Times, Farrah Naz Karim (kiri) dan Aliza Shah Muhammad Shah (kanan) memenangi hadiah Kajai pada Malam Wartawan Malaysia 2016 di Hotel Majestic. - Foto Asyraf Hamzah

MPI terbit karya pemenang Kajai

KUALA LUMPUR: Malaysian Press Institute (MPI) menerbitkan buku berjudul '24 Karya Pemenang Anugerah Kajai' yang memuatkan karya pemenangnya sejak penganugerahan pertama.

Pengurus Kanan MPI, Norlida Jamain, berkata penerbitan buku itu adalah sebagai rujukan kepada pengamal media di negara ini untuk menghasilkan karya berkualiti bagi membantu mereka meraih Anugerah Kajai.

Katanya, buku setebal 450 halaman itu diedarkan di kedai buku utama pada harga RM100 senaskah, namun hanya RM50 sekiranya pembelian dilakukan secara terus menerusi MPI.

"Jika wartawan terutama dalam kalangan generasi muda meneliti karya 24 orang pemenang Anugerah Kajai itu, mereka juga berupaya untuk memenangi anugerah yang diberi setahun sekali menerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia.

"Tiada lagi alasan untuk mereka tidak bekerja keras dan bersungguh-sungguh mendapatkan Hadiah Kajai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain karya pemenang Kajai, Norlida berkata, buku itu turut memuatkan panduan menghasilkan karya bertaraf Kajai berdasarkan temu ramah dengan pemenang.

Bagaimanapun, hanya satu karya tidak dapat dimuatkan dalam penerbitan berkenaan iaitu pemenang 1989, Noraini Nordin, dari akhbar Watan berikutan penulisannya tidak dapat dikesan.

Norlida berkata, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Madya Dr Jeniri Amir, turut menyumbang artikel dalam buku itu yang menghuraikan ciri dalam 24 karya wartawan hingga membolehkan mereka menerima pengiktirafan tertinggi kewartawanan.

Penerima pertama Augerah Kajai adalah Datuk Rosnah Majid yang ketika itu berkhidmat di Utusan Malaysia, manakala sekumpulan enam wartawan dari akhbar berbahasa Inggeris, The Star, menjadi pemenang terkini anugerah itu tahun lalu.

Penguasaan karya wartawan akhbar Melayu berakhir pada 2014 apabila tiga wartawan dari New Straits Times (NST) diangkat sebagai pemenang Kajai pada 2014.

Wartawan Farrah Naz Karim dan Azliza Shah turut mencatat sejarah apabila memenangi anugerah terbabit dua tahun berturut-turut iaitu pada 2014 dan 2015.

Berita Harian X