Ahad, 26 November 2017 | 11:38am
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Aziah Azmee
PENGERUSI Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Aziah Azmee

Buku garis panduan sekolah tahfiz bakal dilancar

KUALA LUMPUR: Buku panduan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) khas untuk sekolah tahfiz dijangka dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Januari tahun depan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata buku panduan itu antara lain akan memberi pendedahan mengenai perkara asas berkaitan KKP.

Selain itu, ia turut mengandungi program pembangunan kesedaran KKP di sekolah tahfiz dan cara melaksanakannya secara berterusan.

"Pasukan khas NIOSH melawat lima kategori sekolah tahfiz yang mewakili pelbagai jumlah pelajar serta status mereka sama ada milik kerajaan, swasta atau persendirian.

"Lawatan itu adalah untuk mendapatkan gambaran sebenar operasi pusat tahfiz serta cara mereka menguruskan risiko keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Maklumat yang diperoleh digunakan untuk menyediakan buku panduan KKP untuk sekolah tahfiz dengan kerjasama pakar dalam bidang terbabit," katanya dalam kenyataan di sini.

Lee berkata, NIOSH akan memastikan buku panduan itu mudah difahami agar dapat dilaksanakan dengan baik di semua sekolah tahfiz seluruh negara.

Justeru, bagi menjayakan pelaksanaan KKP di sekolah tahfiz, NIOSH akan menganjurkan seminar berkaitan di Johor, Pahang, Terengganu, Kedah, Sabah dan Sarawak.

"Diharapkan inisiatif yang dicadang dan dijalankan ini mampu mengurangkan risiko di pusat tahfiz dan mencegah kemalangan daripada berlaku," katanya.

NIOSH dijemput menyertai Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pasukan Petugas Khas Sekolah Tahfiz bagi meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan dan kesihatan di sekolah tahfiz seluruh negara.

Kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas ekoran insiden kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar serta dua guru pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat pada 14 September lalu.

Berita Harian X