Ahad, 19 November 2017 | 10:55pm
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menerima cenderamata berupa replika Kota Darul Ehsan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, Datuk Ir Ruslan Abd Aziz (kiri), ketika Majlis Perasmian Pemuliharaan Kota Darul Ehsan di Bilik Kristal 2, Hotel Hilton, Petaling Jaya. Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan melakukan gimik perasmian ketika Majlis Perasmian Pemuliharaan Kota Darul Ehsan di Bilik Kristal 2, Hotel Hilton, Petaling Jaya. Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, Datuk Ir Ruslan Abd Aziz. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Sultan Selangor rasmi Kota Darul Ehsan

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan merasmikan pintu gerbang Kota Darul Ehsan yang dinaik taraf.

Pemuliharaan pintu gerbang yang melambangkan sempadan antara Petaling Jaya, Selangor dan Kuala Lumpur itu, dilaksanakan Kerajaan Selangor atas titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, pemuliharaan gerbang Kota Darul Ehsan itu dibuat selepas 36 tahun pembinaannya, supaya tampil lebih segar dan indah, sesuai dengan imejnya sebagai ikon negeri Selangor.

"Beta berpuas hati dengan hasil yang dipersembahkan dan berharap agar sekalian rakyat sama-sama dapat menghargai mercu tanda kebanggaan Negeri Selangor ini.

"Beta amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Kerajaan Selangor atas usaha yang dilakukan untuk menyempurnakan projek menaik taraf Kota Darul Ehsan ini," titah baginda pada Majlis Perasmian Kota Darul Ehsan di sini, malam ini.

Kerja naik taraf gerbang Kota Darul Ehsan itu bermula pada 15 April 2015 dan siap sepenuhnya pada 30 September lalu membabitkan beberapa komponen, termasuk ukiran dan motif di bahagian dinding serta kaki tiang, tanpa mengubah konsep asal reka bentuknya.

Ia turut membabitkan tiang bendera, jata negeri Selangor, kanopi dan skema warna bersesuaian dengan imej negeri, selain sistem pencahayaan khusus, naik taraf sistem bekalan elektrik serta penanaman rumput dan pokok renek di sekitar gerbang berkenaan.

Sultan Sharafuddin bertitah, pembinaan gerbang ikonik itu diilhamkan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 1 Februari 1974 sebagai tanda sempadan negeri Selangor selepas Kuala Lumpur diisytihar sebagai Wilayah Persekutuan.

Titah baginda, lokasi pembinaan gerbang Kota Darul Ehsan itu dianjak sedikit daripada garis sempadan bagi menjimatkan kos dan ia dibuka secara rasmi pada 1981.

Mercu tanda Selangor itu terletak di Lebuhraya Persekutuan.

Berita Harian X