X
Sabtu, 18 November 2017 | 8:39pm
CANSELOR dan Pengasas Universiti AIMST, Tun S Samy Vellu
CANSELOR dan Pengasas Universiti AIMST, Tun S Samy Vellu

AIMST bakal lancar Pusat Warisan dan Tamadun India

SUNGAI PETANI: Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) bakal melancarkan Pusat Warisan dan Tamadun India Samy Vellu atau Samy Vellu For Indian Heritage and Civilization pada pertengahan Disember ini.

Canselor dan Pengasas Universiti AIMST, Tun S Samy Vellu, berkata penubuhan pusat warisan terbabit adalah bertujuan bagi menempatkan dokumentasi dan hasil kajian berkaitan ketamadunan masyarakat India di Malaysia.

Beliau berkata pelbagai bentuk penulisan, terbitan dan artikel serta artifak berkaitan warisan dan tamadun India di Malaysia yang bermula dari abad ke-11 akan ditempatkan di situ, selain hasil kajian baru yang bakal diperoleh kelak.

"Lembaga pengarah membuat keputusan dan pentadbiran universiti akan ambil segala langkah untuk melaksanakan perancangan ini," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Upacara Konvekesyen Universiti AIMST kali ke-10 di Kampus AIMST, Semeling, di sini, hari ini.

Samy Vellu berkata, seramai 607 graduan membabitkan pelajar Diploma, Ijazah dan Pascasiswazah dari tujuh fakulti berjaya menamatkan pengajian dan menerima skrol masing-masing.

Ia membabitkan 188 graduan dari Fakulti Perubatan, Fakulti Farmasi (99), Fakulti Pergigian (77), Fakulti Sains Gunaan (65), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (68), Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Komputer (32) dan Fakulti Profesion Kesihatan Sekutu (78).

Dalam pada itu, lima penuntut yang sebelum ini belajar di tiga universiti di Mesir, iaitu Hawa Aishah Abas, 24; Faizura Syahira Mohd Azmi, 24; dan Wajihah Abdul Kadir, 25 (dari Alexandria University), Shahirah Aqilah Tambalang, 24 (Tanta University); dan Almasunnafis Ahmad Shapiki, 25 (Ainshams University) menyambung pengajian mereka di Universiti AIMST selepas berlaku pergolakan politik di negara itu, Mesir empat tahun lalu turut berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

Berita Harian X