Khamis, 9 November 2017 | 5:39pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Danang hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Danang hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25. - Foto BERNAMA

Najib tiba di Danang

DANANG, Vietnam: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di sini hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-25.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Danang bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, pada kira-kira jam 3.45 petang, disambut oleh Duta Malaysia ke Vietnam, Mohd Zamruni Khalid dan Menteri Pendidikan dan Latihan Vietnam, Phung Xuan Nha.

Sebaik tiba di Hotel Sheraton Danang, beliau disambut oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri J Jayasiri, dan pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri dan MITI.

Perdana Menteri berada di sini selama tiga hari bagi menghadiri mesyuarat APEC kali ini yang bertemakan, Mewujudkan Kedinamikan Baharu, Mengukuhkan Perkongsian Masa Depan.

Petang ini, Najib akan membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, Tran Dai Quang, di Pusat Persidangan Danang.

Dalam tempoh dua hari ini, Perdana Menteri akan mengambil bahagian dalam Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dan dialog tidak rasmi di antara APEC dan ASEAN dan dua sesi pemukiman lain.

Pada sesi pertama pemukiman, pemimpin APEC akan berbincang mengenai topik Pertumbuhan Inovatif, Inklusif dan Pekerjaan Mapan dalam Era Digital. Pada sesi kedua, pemimpin APEC akan berhujah mengenai Pemacu Baharu untuk Perdagangan Serantau, Pelaburan dan Kesaling-Hubungan.

Sebelum menyertai Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan APEC (AELM), Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan dengan Amerika Syarikat-Gabungan Perniagaan APEC dan akan mengambil bahagian dalam dialog bertajuk, Visi APEC Pasca 2020 di Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Operasi (CEO).

Najib juga akan menyertai 10 ketua-ketua kerajaan (tidak termasuk Amerika Syarikat), dalam perbincangan mengenai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) sebelum acara pembukaan rasmi APEC ke-25 hari ini.

Selain itu, Najib dijangka mengadakan tiga mesyuarat bilateral dengan Perdana Menteri Australia, New Zealand dan Papua New Guinea bagi bertukar-tukar pandangan dan isu kepentingan bersama.

Berita Harian X