Rabu, 8 November 2017 | 10:53am
CHOW Kon Yeow
CHOW Kon Yeow

Kerajaan PP tiada kuasa robohkan kilang haram

GEORGETOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang mengakui tindakan meroboh atau memberhentikan operasi kilang pemprosesan habuk kayu haram di Sungai Lembu, Penanti, adalah di luar bidang kuasa pentadbirannya.

EXCO Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow, berkata ia susulan tiada peruntukan sedemikian dinyatakan secara jelas dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS).

Katanya, Seksyen 38 AKAS sebaliknya hanya memperuntukkan kuasa untuk masuk premis tanpa waran bagi tujuan menyiasat, memeriksa, menyita atau menahan apa-apa kelengkapan, komputer atau loji perindustrian yang menghasilkan pencemaran.

"Dalam isu kilang haram, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengguna pakai Seksyen 38 AKAS untuk menghentikan penggunaan peralatan atau kelengkapan proses melepaskan pencemar yang tidak dipasang peralatan kawalan pencemaran sewajarnya.

"Bagaimanapun, kilang haram di Sungai Lembu sudah pun berhenti operasi, selain struktur lain diberi kelonggaran untuk proses pemutihan," katanya ketika menjawab soalan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti) mengajukan soalan berhubung tindakan interim ketika tempoh pemutihan sehingga kilang, kedai, struktur atau kerja tanah haram sehingga mendapat kelulusan.

Selain itu, Norlela turut membangkitkan perihal penguatkuasaan Seksyen 38 AKAS untuk memberhentikan operasi atau bantu kilang patuh syarat JAS serta struktur haram dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira (PAC) negeri.

Mengenai struktur haram dalam Laporan PAC, Kon Yeow berkata, dua tindakan sudah diambil ke atas kandang kuda dan bangsal terbuka di Lot 199, MK 1, Teluk Bahang oleh pihak berkuasa tempatan, pada 7 Mac 2017 dan 17 Mei tahun sama.

"Tindakan penguatkuasaan yang akan diambil adalah di bawah Seksyen 27 Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172), iaitu tindakan ke atas mana-mana kes pembinaan struktur haram dijalankan tanpa kebenaran merancang," katanya.

Berita Harian X