Ahad, 5 November 2017 | 3:48pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan. - Foto Hairul Anuar Rahim
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan. - Foto Hairul Anuar Rahim

SPM diteruskan seperti biasa di Pulau Pinang, Kedah

KUALA LUMPUR: Seramai 23,114 calon yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 159 pusat peperiksaan di Pulau Pinang akan berjalan seperti biasa.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P.Kamalanathan, berkata bencana alam yang berlaku di Pulau Pinang dan Kedah sejak semalam tidak akan menjejaskan peperiksaan SPM yang bermula esok.

"Kementerian Pendidikan akan memantau situasi banjir dari masa ke semasa. Pagi ini saya sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang dan Kedah untuk mendapat maklumat terkini mengenai status terkini persediaan JPN dalam menghadapi bencana banjir di kedua negeri.

"Di Pulau Pinang sebanyak terdapat 159 pusat peperiksaan sekolah kerajaan dengan bilangan calon 23,114 akan menduduki peperiksaan SPM seperti yang dijadualkan, hanya dua pusat iaitu Sekolah Menengah Mak Mandin dengan 100 calon peperiksaan akan dipindahkan ke Sekolah Menengah Seberang Perai.

"Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Jit Sin dengan 400 calon akan dipindahkan ke Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin. Agensi kerajaan akan membantu dari segi logistik dalam membawa calon dan kertas peperiksaan ke sekolah itu," katanya melalui kenyataan media kepada BH.

Sementara di Kedah pula, situasi banjir masih terkawal dan semua pusat peperiksaan di negeri Jelapang Padi itu akan berjalan seperti yang dijadualkan.

"Sebanyak 261 pusat peperiksaan dengan bilangan calon 34,672 akan menduduki peperiksaan SPM.

"Kementerian Pendidikan akan terus memantau situasi bencana banjir ini dari masa ke masa dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menjaga keselamatan semua petugas dan calon peperiksaan," katanya.

Berita Harian X