Ahad, 5 November 2017 | 2:47pm
ANGGOTA sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Besut sedang memunggah bekalan makanan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir untuk dihantar kepada penduduk di Pulau Perhentian. - Foto Ihsan Pejabat Penyelaras Dun Kuala Besut.
ANGGOTA sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Besut sedang memunggah bekalan makanan sebagai persiapan menghadapi bencana banjir untuk dihantar kepada penduduk di Pulau Perhentian. - Foto Ihsan Pejabat Penyelaras Dun Kuala Besut.

Tiga tan bekalan makanan dihantar ke Pulau Perhentian

KUALA TERENGGANU: Sebanyak tiga metrik tan bekalan makanan bernilai lebih RM15,000 dihantar ke Pulau Perhentian, Besut, pagi ini, sebagai persediaan menghadapi banjir.

Antara bekalan yang dihantar untuk keperluan lebih 750 ketua isi rumah membabitkan kira-kira 2,000 penduduk yang menetap di.pulau peranginan itu adalah beras, gula, susu, biskut, minyak masak, garam dan susu tepung.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, berkata penghantaran bekalan makanan itu dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan menggunakan bot mereka.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri berkata, bekalan fasa pertama itu cukup untuk menampung keperluan penduduk selama seminggu.

"Jika bekalan itu tidak mencukupi, kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan penghantaran bekalan fasa kedua," katanya.

Seramai 150 sukarelawan JKM, kakitangan Pejabat Daerah Besut dan penduduk Pulau Perhentian diketuai pegawai JKM daerah Besut, Suzieyaty Siyude dan pegawai serta anggota APMM menyertai aktiviti pemunggahan bekalan di Jeti Perikanan Tok Bali, Pasir Putih, Kelantan.

Mengulas persiapan menghadapi bencana banjir di Besut, Tengku Zaihan berkata, JKM daerah Besut menyediakan dua depoh penyimpanan barangan iaitu di Kem Sri Keluang dan Mini Depoh Kampung La.

Katanya, sebanyak 22 pangkalan hadapan dan 162 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang boleh menampung kira-kira 18,000 mangsa bencana banjir disediakan di Besut.

"Semua bekalan makanan asas dan peralatan selimut, tikar, kain batik serta pelbagai jenis ubat sudah dihantar ke pangkalan hadapan," katanya.

Berita Harian X