Isnin, 30 Oktober 2017 | 2:35pm

ZUCoV jadi kemudahan latihan pertama di Asia Tenggara

JOHOR BAHRU: Tentera Darat Malaysia (TDM) kini memiliki kemudahan latihan Operasi Dalam Kawasan Terbina (OBUA) yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dalam usaha meningkatkan kemahiran pertempuran bandar.

Perkampungan OBUA yang dikenali sebagai Zulkiple's Urban Combat Village (ZUCoV) itu adalah bersempena nama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim.

Majlis perasmian dan demonstrasi latihan tempur ZUCoV yang dibina di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di sini, disempurnakan sendiri Zulkiple hari ini.

Zulkiple berkata, pembinaan ZUCoV membabitkan kos berjumlah kira-kira RM423,000 (AUD$130,000) yang dibiayai sepenuhnya Tentera Darat Australia (TDA).

"Kemudahan latihan ini boleh menampung satu kompeni infantri (dalam satu masa) dan ia dibina dengan sepenuhnya bantuan kewangan TDA selain akan diguna pakai bersama dengan TDA yang turut menjalani latihan di Semenanjung.

"Teknik dan kemahiran dalam OBUA sememangnya berbeza jika dibandingkan dengan medan tempur (hutan) kerana ia membabitkan bangunan.

"Atas sebab itu, TDM perlu mempunyai lapang sasar (kemudahan) bagi menjalani latihan seperti ini dan selepas menyaksikan demonstrasi tadi, saya yakin ia mencapai objektif," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian ZUCoV di Perkampungan OBUA di PULADA di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin; Panglima Markas Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Wira Md Tajri Alwi dan Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Konsep latihan OBUA yang dianjurkan PULADA merangkumi empat peringkat iaitu permulaan, pertengahan, pendahulu dan pakar.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim (tengah, mengenakan beret merah) bergambar bersama pegawai dan anggota tentera darat selepas menjayakan demonstrasi di Zulkiple's Urban Combat Village (ZUCoV) di Perkampungan OBUA di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), hari ini.

PANGLIMA Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim menandatangani plak perasmian Zulkiple's Urban Combat Village (ZUCoV) sambil disaksikan Komandan PULADA, Kolonel Semaon Marjuki (kanan) di Perkampungan OBUA di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), hari ini.- Foto Mohd Fahmi Mohd Yusof

Berita Harian X