Sabtu, 21 Oktober 2017 | 5:56pm
PENDUDUK Kampung Taun Gusi menggunakan sampan ke rumah mereka berikutan air banjir belum surut oleh hujan lebat sejak empat hari lepas hari ini.- Foto BERNAMA
PENDUDUK Kampung Taun Gusi menggunakan sampan ke rumah mereka berikutan air banjir belum surut oleh hujan lebat sejak empat hari lepas hari ini.- Foto BERNAMA

2,089 mangsa banjir dipindahkan di Kota Belud

KOTA BELUD: Seramai 2,089 mangsa banjir daripada 323 keluarga kini ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara di daerah ini setakat pagi ini, berbanding 1,823 orang lewat malam tadi.

Mereka ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Tun Said, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tun Said, Dewan Muhibah Tombol, SMK Taun Gusi Satu, Dewan SMK Arshad dan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan.

Lokasi lain ialah di Dewan SK Taun Gusi, Dewan Gopog Taginambur dan Dewan Kompleks Sukan Butong susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabab, Katizah Rahaban, berkata jumlah penduduk dipindahkan meningkat disebabkan pertambahan kawasan dilanda banjir.

Beliau berkata, setakat ini kawasan terjejas membabitkan 24 kampung sekitar daerah berkenaan, manakala lapan laluan utama di daerah ini terputus akibat dinaiki air.

"Antara kampung berkenaan termasuk Kampung Donggoi, Marajah, Gunding, Sadok-Sadok, Sembirai, Lingkodon, Linau dan Lebak Moyoh.

"Paras air sungai di beberapa sungai utama seperti Sungai Kadamaian kini berada pada paras normal iaitu 0.73 meter manakala Sungai Tampasuk dan Sungai Abai ditahap bahaya, 5.46 meter dan 5.7 meter," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menasihatkan penduduk kampung di kawasan rendah dan berhampiran sungai supaya segera berpindah sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Kerjasama orang ramai amat diperlukan dan dihargai ketika ini bagi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar," katanya.

Di Tuaran, seramai 288 mangsa banjir dipindahkan di dua pusat pemindahan setakat pagi ini.

Berita Harian X