Sabtu, 14 Oktober 2017 | 10:33pm
Wakil penerbit Malaysia dari USM dan MBKM bersama wakil penerbit Jerman, Edition Monhart.[FOTO /BH]
Wakil penerbit Malaysia dari USM dan MBKM bersama wakil penerbit Jerman, Edition Monhart.[FOTO /BH]

Buku Malaysia beri saingan sengit di Frankfurt

FRANKFURT: Meskipun gagal memenangi The Beauty and The Book Award 2017 anjuran Book Art Foundation dan Pesta Buku Frankfurt (FBF 2017), keupayaan empat rekaan sampul buku Malaysia berada dalam senarai akhir pertandingan itu, amat membanggakan.

Ketua delegasi Malaysia ke FBF 2017, Abdul Wahab Ibrahim, berkata daripada 10 rekaan sampul buku yang mara ke peringkat akhir, empat adalah dari Malaysia, manakala bakinya dari Jerman.

"Untuk tahun hadapan, saya berharap lebih banyak penerbit turut serta untuk mencalonkan rekaan sampul buku mereka.

"Pertandingan yang diadakan sejak 12 tahun lalu terbuka kepada semua, secara undian dalam talian.

"Hanya undian peringkat akhir saja dilakukan pempamer dan penerbit yang berada di FBF ini," katanya.

Abdul Wahab yang juga Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), menyifatkan rekaan sampul buku Malaysia sama standard dengan rekaan buku antarabangsa.

Bagaimanapun Malaysia gagal untuk meraih kemenangan kerana pecah undi.

"Jika kita sepakat memilih satu daripada empat tajuk yang melangkah ke peringkat akhir, kita berpeluang untuk menang. Bagaimanapun kita gagal berbuat demikian," katanya.

The Beauty and The Book Award 2017 dimenangi buku Im Licht - Im Bild oleh penulis Jerman, Bernhard C Striebel.

Keempat-empat buku Malaysia adalah Modern Mosques in Malaysia Between Regionalism and Eclectism oleh Wael A Yousef Mousa terbitan Penerbitan Universiti Sains Malaysia ( USM); Alegori Rumah Api oleh Mat Luthfi (PTS); Kias Tersirat: Perantauan Bertemu Melayu & Islam di Dunia Melayu Benua tulisan Herman Abdullah (Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia) dan Tulis! Jangan Takut-takut oleh Zamri Mohamad (Legacy Publishing).

Turut berada dalam senarai akhir adalah Mein Bienengarten oleh Elke Schwarzer; Don Rosa: I still Get Chills oleh Alex Jakubowski, Lois Lammerhuber dan Don Rosa.

Fur den Tieferen Sinn - Duft als Medium in Kunst, Design und Kommunikation oleh Martin Hegel, Matthias Wagner K, Heribert Friedl dan Tobias Jacob.

Dua buku lagi ialah Der geheimnisvolle Koffer von Herrn Benjamin dan buku masakan, Hundebraten süßsauer: Kochbuch der chinesischen Hausmannskost yang kedua-duanya ditulis oleh illustrator, Pei-Yu Chang.

Berita Harian X