Ahad, 8 Oktober 2017 | 6:30pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap menutup Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Ke-25 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, sebentar tadi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap menutup Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Ke-25 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, sebentar tadi. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Bukan cakap kosong - PM

SERDANG: Pelbagai bantuan kepada masyarakat India di negara ini bukti kerajaan tidak bercakap kosong dan meminggirkan kaum itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk memberi perhatian khusus kepada transisi masyarakat India dari estet ke pinggir bandar dan bandar, adalah bukti keprihatinan kerajaan.

"Apa yang dilakukan oleh kerajaan untuk membangunkan masyarakat India bukan 'vetti pichu' (janji kosong) tapi 'nijam' (benar).

"Kerajaan komited membantu masyarakat India dengan semangat 'nambikei' (kepercayaan), sama seperti kaum lain " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) Ke-25 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden IPF, Datuk M Sambanthan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, apa yang dilakukan BN berbeza dengan pembangkang yang tiada agenda khusus, perancangan dan pelan tindakan (Pelan Tindakan Masyarakat India).

Katanya, sebanyak RM900 juta diperuntukkan kerajaan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil sejak beliau menjadi Perdana Menteri dan RM1.2 bilion untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana serta mikro kredit.

Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan 700 tempat tambahan untuk kaum India melanjutkan pengajian ke peringkat universiti awam (UA).

"Penyertaan kaum India rendah di UA kalau dasar meritokrasi terus digunakan, yang terjejas masyarakat India. Ini memberi masalah kepada kaum itu, bukan saya perkenalkan dasar meritokrasi.

"Kalau saya tak buat sesuatu, mungkin pembabitan kaum India di UA hanya pada tahap tiga ke empat peratus saja, bukan tujuh peratus seperti ditetapkan," katanya.

Najib juga berkata, BN amat menghargai sokongan dan kesetiaan selama 27 tahun IPF kepada kerajaan.

"Saya yakin IPF akan terus membantu BN dan memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti," katanya.

Berita Harian X