Sabtu, 7 Oktober 2017 | 1:17pm
 Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bergambar bersama penerima anugerah selepas merasmikan majlis Yayasan Peneraju Accounting Symposium 2016 di Universiti Malaya. - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bergambar bersama penerima anugerah selepas merasmikan majlis Yayasan Peneraju Accounting Symposium 2016 di Universiti Malaya. - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Kerajaan optimis lahir 60,000 akauntan profesional

KUALA LUMPUR: Kerajaan optimis dapat melahirkan 60,000 akauntan profesional menjelang 2020 bagi memenuhi permintaan berikutan saiz ekonomi negara yang semakin berkembang.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kepakaran dalam bidang perakaunan amat diperlukan untuk menguruskan hal berkaitan kewangan.

Berdasarkan statistik Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju), sehingga kini, terdapat lebih 34,000 akauntan profesional di negara ini.

Oleh itu, beliau berkata, Malaysia memerlukan lebih ramai akauntan profesional supaya 'bekalan' pakar dalam bidang berkenaan mencukupi untuk menguruskan segenap sistem ekonomi di negara ini.

"Berdasarkan saiz ekonomi Malaysia ketika ini yang berkembang pesat mencecah RM1.2 trilion, kita sebenarnya memerlukan lebih ramai akauntan profesional.

"Bukan itu sahaja, nilai dagangan kita dengan dunia mencecah RM1.5 trilion, modal pasaran RM3.1 trilion dan sektor perbankan pula merekodkan RM2.4 trilion.

"Situasi ini menyaksikan Malaysia amat memerlukan pakar seperti penasihat kewangan yang bagus, kakitangan kewangan dan akauntan profesional untuk menguruskan 'angka-angka' besar ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Simposium Perakaunan 2017 Yayasan Peneraju bertemakan #AccountantsAreHot di Universiti Malaya di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Eksekutif Yayasan Peneraju, Raja Azura Raja Mahayuddin.

Johari berkata, nisbah menunjukkan seorang akauntan di United Kingdom (UK) memberi perkhidmatan kepada 200 penduduk, manakala di Malaysia ia bersamaan khidmat untuk 1,600 orang.

"Ini menunjukkan Malaysia ketinggalan di belakang Hong Kong dan Singapura yang masing-masing mempunyai seorang akauntan untuk kira-kira 184 dan 195 penduduk," katanya.

Katanya, jika sasaran 60,000 akauntan profesional tidak dapat dikecapi, ia tidak bermaksud Malaysia tidak boleh menjadi negara maju.

"Kerajaan hanya mahu pastikan individu yang hendak menjadi akauntan, benar-benar memiliki kelayakan supaya apabila bergelar akauntan profesional, mereka mahir menguruskan rekod dan memberi nasihat kewangan," katanya.

Berita Harian X