Khamis, 5 Oktober 2017 | 6:35pm
DATUK Seri Zulkifli Omar (dua kanan) melihat hasil kraf buatan penghuni penjara pada Majlis Perasmian Infokraf Jabatan Penjara Malaysia Peringkat Kebangsaan 2017 di sini, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam
DATUK Seri Zulkifli Omar (dua kanan) melihat hasil kraf buatan penghuni penjara pada Majlis Perasmian Infokraf Jabatan Penjara Malaysia Peringkat Kebangsaan 2017 di sini, hari ini. - Foto Sharul Hafiz Zam

Sasar jualan produk penjara melebihi RM35j

ALOR SETAR: Jabatan Penjara Malaysia mensasarkan jualan produk penjara tahun ini melebihi RM35 juta berikutan produk berkualiti yang dihasilkan mendapat permintaan daripada masyarakat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata sasaran itu dijangka dapat dicapai selepas hasil jualan tahun lalu mencatatkan sebanyak RM34.9 juta.

"Pihak penjara meletakkan sasaran ini bagi memastikan banduan turut berusaha dan tekun menghasilkan pelbagai produk yang bermutu tinggi serta bersih.

"Ini secara tidak langsung ia akan membantu atau melatih mereka (banduan) membentuk sifat sabar, rajin dan nilai murni dalam diri masing-masing.

"Inilah tujuan kita dan falsafah sebenar di sebalik sasaran Jabatan Penjara agar kita dapat melahirkan banduan yang berkemahiran tinggi selain mempunyai akhlak yang baik selepas dibebaskan kelak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Infokraf Jabatan Penjara Malaysia Peringkat Kebangsaan 2017 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pelbagai usaha dirangka bagi memastikan proses pemulihan banduan berkesan melalui bidang pendidikan dan kemahiran.

Katanya, ia termasuk menerusi latihan dengan kerjasama syarikat swasta untuk melatih juvana di Sekolah Henry Gurney, Melaka pada awal tahun ini.

"Bagi memastikan hala tuju penghuni muda, Jabatan Penjara membangunkan sebuah Pusat Latihan Kemahiran Automotif bertauliah khas untuk melatih mereka dengan syarikat swasta berperanan menyediakan kelengkapan, memberikan khidmat nasihat dan tenaga pakar.

"Syarikat seperti Rapid Bus Sdn Bhd dan Proton Holdings Bhd (PROTON) menjadi penyumbang kenderaan dan enjin bagi tujuan bahan pembelajaran.. ia mungkin akan diperluaskan ke seluruh penjara selepas ini," katanya.

Dalam masa yang sama, Zulkifli berkata, menerusi Corporat Smart Internship (CSI), jabatan turut melahirkan Orang DiParol (ODP) yang terlatih dengan pelbagai kemahiran.

"Sehingga kini lebih 90 peratus ODP memperoleh kerja di beberapa syarikat swasta yang bekerjasama menerusi program berkenaan.

"Berdasarkan rekod, seramai 16,500 banduan selesai menjalani sistem parol sejak ia diperkenalkan pada 2008," katanya.

Berita Harian X