Ahad, 1 Oktober 2017 | 3:29pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam melawat pameran Persidangan Kebangsaan Gine-Onkologi 2017 di Double Tree, Hilton, Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam melawat pameran Persidangan Kebangsaan Gine-Onkologi 2017 di Double Tree, Hilton, Kuala Lumpur. - Foto Salhani Ibrahim

Perubatan tradisional rawat kanser

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang mengkaji penggunaan perubatan tradisional sebagai pilihan lain kepada rawatan penyakit barah.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam, berkata kajian itu dijalankan untuk memperolehi bukti saintifik sama ada perubatan alternatif itu boleh menyembuhkan kanser atau sebaliknya.

Beliau berkata, jika terbukti secara saintifik, kerajaan tiada masalah malah bersikap terbuka untuk menerima penggunaan perubatan tradisional dalam rawatan barah.

"Ada negara seperti China dan India, mereka sedang tingkatkan penyelidikan untuk gabungkan dua jenis rawatan (moden dan tradisional). Mereka jalankan kajian sains untuk buktikan keberkesanan perubatan tradisional terlebih dahulu.

"Kalau beri kesan di Malaysia, dibuktikan secara saintifik, kerajaan bersikap terbuka untuk gabung (rawatan moden dan tradisional).

"Tetapi, terlebih dahulu kenalah tunaikan syarat, bukti secara saintifik," katanya selepas majlis penutup Persidangan Kebangsaan Gine-Onkologi 2017 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden Pertubuhan Ginekologi Kanser Malaysia, Datuk Dr Mohd Rushdan Md Noor.

Ketika berucap di persidangan itu, Subramaniam berkata, tahap kesedaran rakyat Malaysia untuk membuat saringan awal bagi mengenal pasti penyakit barah masih rendah.

Beliau berkata, berdasarkan statistik kementeriannya, hanya 40 peratus rakyat Malaysia sudah menjalankan ujian saringan, manakala baki 60 peratus gagal berbuat demikian.

Katanya, malu antara faktor utama yang menjadi penghalang buat masyarakat untuk tampil membuat saringan awal.

"Jangan malu. Di semua klinik kerajaan disediakan alat 'pap smear' untuk saringan kanser secara percuma, dengan jaminan privasi untuk setiap pelanggan yang datang.

"Kenal pasti awal kerana kanser boleh sembuh dengan rawatan. Kalau lewat (buat saringan), susah atau tak boleh ubati kanser," katanya.

Berita Harian X