Khamis, 28 September 2017 | 7:00pm
TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia(MPI), Datuk Dr Chamil Wariya (tujuh kanan) bergambar bersama panel dan para peserta sempena Forum Media Kebangsaan di Hotel UITM, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia(MPI), Datuk Dr Chamil Wariya (tujuh kanan) bergambar bersama panel dan para peserta sempena Forum Media Kebangsaan di Hotel UITM, Shah Alam. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Cabaran media konvensional

SHAH ALAM: Media konvensional di negara ini kini bukan hanya berdepan dengan persaingan media baharu tetapi juga media sosial seperti Facebook dan Google.

Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid, berkata kedua-dua media sosial itu kini turut menjadi sumber berita pengguna.

"Platform seperti Facebook dan Google kini menjadi sumber berita kerana Internet untuk Segalanya (IoT) dan Revolusi Perindustrian 4.0. Ini realiti, bukan fiksyen dan ia sesuatu yang perlu kita hadapi.

"Industri media kini semakin mencabar kerana pembaca sudah mengubah cara mereka memperoleh berita dan kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan serta menaik tarafnya untuk kekal relevan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi moderator pada Forum Media Kebangsaan yang diadakan di Hotel Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Forum anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) itu antara lain bagi membincangkan secara lebih kritis pelbagai isu terkini membabitkan media tempatan sama ada konvesional mahupun digital.

Forum kali keempat itu turut bertujuan menghasilkan rumusan terbaik persiapan dan perancangan pada masa depan selain menjadi platform pertemuan antara pengamal dan tokoh media, ahli akademik dan penuntut jurusan kewartawanan.

Sebanyak tiga topik diskusi iaitu 'Revolusi Industri 4.0 dan Impak kepada Profesion Kewartawanan'; 'Membina Keyakinan Media pada Era Pasca Kebenaran' dan 'Transformasi Nasional 50: Dimanakah Media Kita' dibincangkan dalam forum sehari yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari.

Ia turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya selain lebih 100 peserta dan panel diskusi media tempatan.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan (IJS) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli, di akhir forum merumuskan bahawa aspek kewartawanan kini berdepan cabaran besar terutama skop pekerjaan yang memerlukan pelbagai tugas, tanggungjawab dan komitmen seiring dengan kemudahan teknologi moden.

Katanya, media baharu atau digital berfungsi menyebarkan maklumat kepada umum dalam masa singkat manakala media tradisional atau konvensional pula dapat memberi analisis, ulasan dan penjelasan secara lebih menyeluruh.

Berita Harian X