Rabu, 27 September 2017 | 3:42pm
MODERATOR, Dr Salinah Jaafar (tengah) bersama panel, Prof Dr Puteri Roslina Abdul Wahid (kiri) dan Prof Madya Dr Maslida Yusof pada Seminar Bahasa, Sastera dan Bahasa Melayu, Sebahtera 2017 di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. - Foto Nurul Shafina Jemenon
MODERATOR, Dr Salinah Jaafar (tengah) bersama panel, Prof Dr Puteri Roslina Abdul Wahid (kiri) dan Prof Madya Dr Maslida Yusof pada Seminar Bahasa, Sastera dan Bahasa Melayu, Sebahtera 2017 di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Larangan guna gajet dalam kelas tidak sesuai

KUALA LUMPUR: Bidang Pengajian Melayu di universiti perlu mengambil kira keperluan dan persekitaran generasi Z seperti penggunaan gajet dalam kelas kerana generasi berkenaan kini membentuk kelompok majoriti di universiti.

Pengarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Puteri Roslina Abdul Wahid, berkata transformasi itu penting dalam memastikan Pengajian Melayu terus kekal relevan.

"Kaedah 'chalk and board' sudah agak ketinggalan tetapi masih diperlukan. Namun, larangan penggunaan gajet dalam kelas atas alasan yang kurang munasabah hanya akan menyebabkan kekangan kepada pelajar generasi Z," katanya dalam ucaptama Seminar Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (SEBAHTERA) 2017 di UM di sini, hari ini.

Puteri Roslina berkata, generasi Z ialah mereka yang lahir antara tahun 1995 hingga 2009 dengan ciri paling menonjol adalah kebergantungan mereka kepada teknologi.

"Mereka ini adalah generasi senyap dengan kebanyakan masa dihabiskan melayari internet dan tidak gemar untuk keluar dari zon selesa.

"Secara umumnya, mereka tidak memberi fokus kepada aspek dan nilai kekeluargaan," katanya.

Puteri Roslina berkata, kandungan dalam bidang Pengajian Melayu perlulah menepati keperluan ini, selain pendekatan baharu perlu diguna bagi mentakrif semula budaya popular.

"Budaya itu sendiri bersifat dinamis dan sentiasa bersedia menerima perubahan.

"Namun, transformasi yang dilakukan tidak seharusnya mengorbankan kandungan yang bercirikan Melayu dan berteraskan Islam," katanya.

Puteri Roslina berkata, pada akhirnya, hasrat utama pendidikan adalah menghasilkan manusia yang mempunyai rasa, cinta, nilai positif, dan hormat kepada bidang ilmu yang dipelajarinya dalam membentuknya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, bangsa dan negara.

SEBAHTERA 2017 dianjurkan secara bersama oleh UM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Berita Harian X