Rabu, 27 September 2017 | 3:07pm
PENASIHAT Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Utama, Dr Rais Yatim (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran buku Kamus Peribahasa-Mandarin dan Kesejahteraan Hidup yang Abadi di Dewan Bahasa dan Pustaka. Turut sama Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Tan Sti Datuk Seri Syed Hamid Syed Jaffar Albar, Datuk Hin San, Datuk Abang Sallehhuddin Abg Shokeran dan penulis buku, Cao Guobing. - Foto Rohanis Shukri
PENASIHAT Sosio Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Utama, Dr Rais Yatim (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran buku Kamus Peribahasa-Mandarin dan Kesejahteraan Hidup yang Abadi di Dewan Bahasa dan Pustaka. Turut sama Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Tan Sti Datuk Seri Syed Hamid Syed Jaffar Albar, Datuk Hin San, Datuk Abang Sallehhuddin Abg Shokeran dan penulis buku, Cao Guobing. - Foto Rohanis Shukri

Karya terjemahan Syed Hamid Albar wajar dirujuk pemimpin baharu

KUALA LUMPUR: Buku Kesejahteraan Hidup Yang Abadi terjemahan dari judul Living a Better Life wajar menjadi rujukan kepada pemimpin yang baru menceburkan diri dalam politik.

Apatah lagi terjemahan itu dilakukan oleh pemimpin berpengalaman luas dalam politik dan pentadbiran negara, iaitu bekas Menteri Luar dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata karya yang diterjemah daripada tulisan asal oleh penulis China, Cao Guobing itu, menyeru pembaca untuk menjadi sederhana dan bersahsiah yang tinggi serta tidak mengamalkan rasuah dalam apa juga keadaan sekalipun.

"Semua pemimpin perlu menyelak naskhah ini untuk meneliti pemikiran yang ditampilkan terutamanya pemimpin yang baru mahu menceburkan diri dalam politik.

"Pendekatan yang dipilih dalam buku ini adalah sangat berharga dan saya lihat ia disentuh dengan begitu baik serta dapat dapat memberi kesedaran terutamanya pada masa ini ketika kita giat memerangi rasuah," katanya pada Majlis Diskusi Karya dan Pelancaran Kamus Peribahasa Melayu-Mandarin serta Kesejahteraan Hidup Yang Abadi di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran; Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN), Datuk Goh Hin San dan Guobing.

Sementara itu, Syed Hamid berkata, usaha menterjemahkan karya Guobing itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan apatah lagi dilakukan berdasarkan naskhah terjemahan dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata, ini kerana penterjemah perlu memahami falsafah budaya dan sejarah sesuatu bangsa supaya apa yang diterjemahkan akan lebih tepat.

"Bagi memastikan terjemahan yang saya lakukan betul, saya merujuk kepada pakar bahasa Cina sebagai usaha tambahan.

"Terjemahan naskhah ini ke dalam bahasa Melayu sangat relevan terutamanya ketika banyak nilai, tanggungjawab dan amanah hilang daripada masyarakat kita.

"Naskhah ini memiliki kandungan yang bukan saja dapat melahirkan sistem nilai yang tinggi, malah norma hidup yang baik, sekali gus menjadi motivasi untuk saya terus menterjemah naskhah ini," katanya.

Kamus Peribahasa Melayu-Mandarin diterbitkan oleh DBP, manakala Kesejahteraan Hidup Yang Abadi diterbitkan oleh HAN.

Berita Harian X