Sabtu, 23 September 2017 | 11:47pm
DUTA dari 10 negara ASEAN bergambar dengan pegawai diplomatik yang menyertai Hari Keluarga ACT 2017 di Sekolah Republik Indonesia Tokyo.
DUTA dari 10 negara ASEAN bergambar dengan pegawai diplomatik yang menyertai Hari Keluarga ACT 2017 di Sekolah Republik Indonesia Tokyo.
PEGAWAI diplomatik dari Kedutaan Besar Malaysia turut ambil bahagian dalam acara tarik tali. - Foto Faiza Zainudin
PEGAWAI diplomatik dari Kedutaan Besar Malaysia turut ambil bahagian dalam acara tarik tali. - Foto Faiza Zainudin

Hari keluarga ASEAN di Tokyo

 

TOKYO: Lebih 200 pegawai diplomatik dan keluarga termasuk duta dari 10 negara anggota ASEAN menyertai Hari Keluarga ACT (Jawatankuasa ASEAN di Tokyo) 2017 di Sekolah Republik Indonesia, Meguro, dekat sini, hari ini.

  Kedutaan Besar Republik Indonesia menjadi tuan rumah kepada majlis tahunan itu yang berlangsung meriah dengan pelbagai acara seperti sukan dan persembahan kebudayaan.

  Duta Republik Indonesia ke Jepun, Arifin Tasrif, berkata program sedemikian diharap dapat  menjalin hubungan persahabatan dan kerjasama lebih erat antara negara anggota.

  Katanya, Hari Keluarga ACT melambangkan hubungan rapat dan mesra dalam kalangan diplomat dan keluarga ASEAN di Jepun dalam memajukan kepentingan bersama.

  "Diharap misi diplomatik ASEAN di Jepun akan terus membantu antara satu sama lain bagi memperkuat perpaduan dan persefahaman bersama," katanya pada majlis Hari Keluarga ACT 2017 di sini, siang tadi.

  Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris dan isteri, Datin Rose Abdullah.

  Antara negara yang menyertai program itu termasuk Filipina, Thailand, Singapura, Brunei, Kemboja, Loas, Vietnam dan Myanmar.

  Pada majlis itu, negara anggota turut menghidangkan makanan tradisi negara masing-masing dengan Malaysia membawa hidangan seperti nasi lemak, bihun goreng, kuih seri muka dan karipap untuk dinikmati bersama-sama.

  Sementara itu, Ahmad Izlan yang melancarkan majlis mewakili Duta ASEAN di Tokyo, gembira program itu dapat memenuhi objektif dalam memupuk hubungan rapat dan persahabatan dalam kalangan negara anggota ASEAN.

  Beliau dan isteri turut mengambil bahagian dalam pertandingan boling padang manakala yang lain menyertai acara badminton dan ping pong dengan kanak-kanak acara sukaneka.

  Majlis berakhir dengan acara penyampaian hadiah untuk semua pemenang.

Berita Harian X