Jumaat, 22 September 2017 | 9:45am
JALAN utama ke Kuala Kedah dinaiki air berikutan hujan lebat tanpa henti. - Foto Sharizal Md Noor
JALAN utama ke Kuala Kedah dinaiki air berikutan hujan lebat tanpa henti. - Foto Sharizal Md Noor

Banjir: 461 dipindahkan di Kedah

ALOR SETAR: Seramai 461 penduduk dari tiga daerah negeri ini dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat sejak malam tadi.

Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata tiga daerah dilanda banjir selepas hujan lebat berpanjangan menyebabkan 97 keluarga terjejas.

Katanya, tiga daerah terbabit ialah Kuala Muda, Kota Setar dan Kubang Pasu.

Di daerah Kuala Muda, dua PPS dibuka iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Kechil seramai 319 mangsa dari 67 keluarga manakala di PPS Dewan Kampung Jilid 8, ia menempatkan 30 mangsa daripada tujuh keluarga.

Bagi daerah Kota Setar pula, seramai 20 mangsa dari empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kampung Balai.

Di daerah Kubang Pasu, seramai 92 orang dari 19 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Changloon," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Kami menjangkakan kemungkinan terdapat peningkatan jumlah mangsa dan beberapa PPS yang akan dibuka berdasarkan keadaan cuaca dan paras air semasa.

"Ini berikutan, APM dimaklumkan akan ada peningkatan air di kebanyakan sungai utama di Kedah kerana hujan lebat di bahagian hulu sungai," katanya.

BH semalam melaporkan hujan lebat disusuli fenomena air pasang besar yang melanda Kedah, menyebabkan beberapa lokasi di sekitar negeri ini dilanda banjir kilat.

Berita Harian X