Rabu, 20 September 2017 | 5:14pm
SITI Sakinah (tiga dari kiri) bersama wakil NGO pada majlis pelancaran Kempen Bantuan Musim Sejuk 5.0 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rohanis Shukri
SITI Sakinah (tiga dari kiri) bersama wakil NGO pada majlis pelancaran Kempen Bantuan Musim Sejuk 5.0 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Rohanis Shukri

Syria Care sasar kutip RM4 juta

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Syria Care Malaysia (Syria Care) menyasarkan kutipan RM4 juta bagi Kempen Bantuan Musim Sejuk musim kelima untuk rakyat Syria yang menjadi mangsa konflik bersenjata sejak Mac 2011.

Pengurus Besarnya, Siti Sakinah Meor Omar Baki, berkata Syria Care akan mengedarkan bantuan dalam bentuk pakaian tebal, alat pemanas, kayu api dan gas untuk dimanfaat sekurang-kurangnya 23,000 keluarga di negara itu.

"Kempen bermula bulan ini manakala pengagihan dijadual bermula November ini.

"Bantuan akan diedar ke beberapa lokasi dikepung tentera rejim seperti Latakia, barat Idlib, timur Ghoutah, timur Idlib, selatan Damsyik, Homs dan Aleppo.

"Akibat kepungan berkenaan, mangsa konflik sukar mendapatkan bantuan dan keperluan untuk kelangsungan hidup," katanya berucap pada majlis pelancaran Kempen Bantuan Musim Sejuk 5.0 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, wartawan turut menemubual empat wakil NGO di Syria menerusi sidang video secara langsung.

Seorang daripadanya, Faisol Attowil, berkata pergolakan tidak menunjukkan tanda ia akan berakhir kerana bom terus digugurkan, bahan kimia dilepaskan hampir setiap hari dan banyak prasarana musnah dalam konflik terbabit.

"Antara cabaran dalam menghantar bantuan ke lokasi terkepung adalah kos pengangkutan yang mahal, namun usaha tetap diteruskan kerana memikirkan nasib mangsa yang terpaksa menempuh musim sejak antara empat hingga enam bulan.

"Contohnya kawasan timur Ghoutah yang terkepung sejak lima tahun lalu yang mana penduduk terpaksa membakar pakaian lama untuk memanaskan badan kerana bekalan kayu api terhad.

"Dianggarkan 21,000 kematian dilaporkan di timur Ghoutah pada musim panas tahun ini," katanya.

INFO

  • Kempen Syria Care mengumpul dana RM2 juta tahun lalu.
  • RM300,000 kutipan daripada Syria Care untuk pengagihan bantuan anak yatim dan pendidikan disalurkan setiap bulan.
  • Sejumlah lima juta rakyat Syria menjadi pelarian ke Turki, Jordan dan Lubnan
Berita Harian X