Jumaat, 15 September 2017 | 4:12pm
PEMBANTU Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif. - Foto Mohd Adam Arinin
PEMBANTU Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif. - Foto Mohd Adam Arinin

Daftar pusat tahfiz demi keselamatan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bercadang mewajibkan semua pusat tahfiz dan sekolah agama di negeri ini berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata peraturan itu bagi membolehkan pemantauan lebih ketat, bukan saja dari segi kokurikulum dan prasarana, malah ciri keselamatan.

"Kita akan berbincang dengan MUIS untuk menambah dan memperkemaskan syarat pengwujudan pusat tahfiz, termasuk dari segi ciri keselamatan, lokasi ditubuhkan dan beberapa peraturan lain.

"Cuma mereka yang patuh terhadap syarat ini boleh didaftarkan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Arifin turut menggesa semua pusat tahfiz di Sabah sama ada berdaftar atau tidak, mematuhi ciri keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini termasuk risiko kebakaran.

Katanya, pemilik pusat tahfiz disaran meminta khidmat nasihat jabatan berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memastikan ciri keselamatan di premis mereka dipatuhi.

Ketika ini, katanya, kira-kira 20 pusat tahfiz berdaftar dengan JHEAINS di seluruh negeri.

"Di Sabah, kita sentiasa pantau pusat tahfiz yang berdaftar dengan MUIS dan JHEAINS. Pusat yang tidak berdaftar (beroperasi secara persendirian) tidak banyak, tetapi kita pantau juga," katanya.

Beliau turut meminta pusat tahfiz dan madrasah yang beroperasi secara persendirian mendaftar premis mereka dengan merujuk kepada JHEAINS.

Berita Harian X