Isnin, 11 September 2017 | 6:49pm
MURTADHO Bahri (tengah), menerima tajaan daripada Naib Presiden ANGKASA, Kamarudin Ismail (kanan) untuk Kejohanan Go-Kart Koperasi Bersama Angkasa Sempena ICAKL 2017. - Foto Saifullizan Tamadi
MURTADHO Bahri (tengah), menerima tajaan daripada Naib Presiden ANGKASA, Kamarudin Ismail (kanan) untuk Kejohanan Go-Kart Koperasi Bersama Angkasa Sempena ICAKL 2017. - Foto Saifullizan Tamadi

Kegiatan lasak eratkan hubungan

KUALA LUMPUR: Koperasi The New Straits Times Press (M) dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bakal mengadakan Kejohanan Go-Kart Koperasi - ANGKASA bersempena Persidangan Global Perikatan Koperasi Antarabangsa Kuala Lumpur (ICAKL) 2017.

Program pada 23 September ini akan berlangsung di Litar Go-Kart Shah Alam.

Pengerusi Koperasi NSTP, Mohd Fadzil Abd Ghani, berkata penganjuran acara buat kali ketiga itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara ahli koperasi selain menggalakkan pembabitan golongan muda dalam sukan lasak.

"Acara sukan lasak yang telah memasuki tahun ketiga ini diharapkan dapat merapatkan hubungan antara koperator tempatan, rantau Asia dan antarabangsa.

"Dengan penganjuran acara sukan seperti ini diharapkan dapat menjadi contoh kepada koperasi lain dalam meningkatkan taraf ekonomi ahli koperasi yang ada di Malaysia," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kejohanan Go-Kart Koperasi - ANGKASA di Balai Berita, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail; Setiausaha Koperasi NSTP, Zulfakar Wahib; Pengurus Besar Komunikasi Korporat ANGKASA, Borhan Mat Aris; Timbalan Pengurus Kanan, Komunikasi Korporat Kumpulan, UEM Group Berhad, Juliana Jamaluddin; dan Pengarah Perniagaan Koperasi Etiqa Takaful Berhad, Mohammad Assri Husin.

Sementara itu, Timbalan Presiden ANGKASA, Murthado Bahri, berkata ANGKASA sebagai penaja utama telah menyumbang sebanyak RM30,000 bagi menjayakan acara terbabit.

"Terdapat tiga kategori penyertaan iaitu kategori lelaki heavyweight membabitkan individu beratnya 70 kilogram (kg), kategori lelaki lightweight membabitkan peserta yang beratnya 70kg ke atas dan kategori terbuka wanita.

"Bagi penyertaan ini, peserta yang terlibat bukan sahaja dari koperasi tempatan malah terbuka kepada koperasi peringkat Asia," katanya.

Selain ANGKASA, koperasi lain yang turut memberi sumbangan penajaan ialah Rakyat Management Services Sdn Bhd, United Engineer Malaysia Group Berhad, Koperasi Perdanajaya Malaysia Berhad dan Etiqa Takaful Berhad.

Berita Harian X