Isnin, 11 September 2017 | 5:24pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah di Majlis Perasmian Dialog Pangkor 2017 di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah di Majlis Perasmian Dialog Pangkor 2017 di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Kewangan Islam mampu tangani krisis global

IPOH: Sistem kewangan Islam mampu memainkan peranan penting bagi menyelesaikan satu daripada tiga isu dan cabaran utama yang mendepani dunia global semasa dan masa hadapan.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah sistem kewangan Islam berpotensi menyediakan keperluan kewangan bagi menyelesaikan matlamat pembangunan global yang mapan serta krisis kemanusiaan dihadapi sekarang.

"Bank Pembangunan Islam melaporkan nilai pengeluaran wakaf di India sahaja bernilai AS$24 bilion (RM100.8 bilion) manakala pembayaran zakat secara konservatifnya antara AS$200 (RM840 bilion) hingga AS$600 bilion (RM2,520 bilion) beredar (di seluruh dunia) setiap tahun.

"(Ia bermakna) Hanya sebahagian kecil zakat sahaja mampu memenuhi kadar minimum pembiayaan defisit global bagi tahun 2015," titah baginda pada perasmian Dialog Pangkor 2017 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dialog itu dianjurkan Institut Darul Ridzuan (IDR) dan mendapat kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Kira-kira 1,200 peserta terdiri pelbagai golongan termasuk peneraju industri, pemimpin politik, ahli akademik, pembuat dasar, penjawat awam dan pelajar menyertai program dua hari bertemakan `Memacu Masa Hadapan: Landasan Inovatif Ke Arah Pembangunan Mapan'.

Baginda yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah, keperluan penyelesaian oleh sistem kewangan Islam menjadi semakin penting memandangkan 90 peratus daripada krisis kemanusiaan sekarang berlaku di negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) manakala 31 daripada 33 konflik semasa berlaku di negara majoriti Islam.

Justeru, menurut baginda, pelbagai institusi kewangan Islam sedang berusaha memastikan instrumen seperti wakaf, zakat dan sukuk boleh disalurkan secara berkesan dan cekap untuk memenuhi keperluan berkenaan, walaupun menyedari ia bukan tugasan mudah.

Baginda juga bertitah, terdapat keperluan untuk memeriksa semula angka tunjuk yang digunakan bagi menilai pembangunan sesebuah negara atau kemajuan manusia.

Titah baginda, pertumbuhan ekonomi pantas semata-mata tidak boleh menjadi petunjuk terhadap kesejahteraan sosial serta kestabilan ekonomi.

"Prestasi ekonomi negara biasanya dinilai melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta indikator ekonomi yang lain.

"Bagaimanapun, kejayaan dalam mencapai matlamat pembangunan negara seharusnya tidak boleh dinilai menggunakan indikator ekonomi semata-mata kerana ada kalanya pembangunan ekonomi dilakukan tidak mendatangkan kesejahteraan sosial serta memberi kesan terhadap alam sekitar," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, isu semasa lain yang  dihadapi ialah masa hadapan pekerjaan kerana banyak daripada jenis pekerjaan sekarang tidak akan wujud lagi pada masa akan datang dengan satu kajian menunjukkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 700 jenis pekerjaan sekarang akan dilakukan oleh mesin atau penggunaan teknologi.

Malah, baginda bertitah, perubahan teknologi bukan hanya mengubah jenis pekerjaan manusia tetapi juga tempat bekerja yang memerlukan sesebuah kerajaan memikirkan sistem pendidikan sesuai bagi memastikan jenis pekerjaan yang boleh diisi oleh generasi akan datang.

Dalam titahnya, baginda juga mengulas mengenai lima aliran utama global yang sedang berlaku sekarang iaitu bagaimana kemajuan teknologi mengubah dunia dan cara manusia hidup; kedinamikan demografi termasuk pertambahan penduduk, penuaan, migrasi dan perbandaran; serta masalah kemiskinan dan ketidakadilan masyarakat yang masih wujud.

Baginda bertitah, ia juga membabitkan krisis alam sekitar yang semakin meruncing dan kelima, isu keganasan, konflik serta krisis kemanusiaan yang masih berlaku dan memberi kesan terhadap kehidupan berjuta manusia serta memberi kesan terhadap sebarang prospek pembangunan.

Berita Harian X