Isnin, 11 September 2017 | 2:34pm
SULTAN Johor Sultan Ibrahim memilih kenderaan Morgan roda tiga buatan Britain sebelum memulakan Kembara Mahkota Johor 2017 pada hari ketiga di Kem Batalion 5 Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam, Johor. - Foto Zain Ahmed
SULTAN Johor Sultan Ibrahim memilih kenderaan Morgan roda tiga buatan Britain sebelum memulakan Kembara Mahkota Johor 2017 pada hari ketiga di Kem Batalion 5 Pasukan Gerakan Am Simpang Renggam, Johor. - Foto Zain Ahmed

Sultan Johor kongsi 'rahsia' pakaian

KLUANG: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini berkenan berkongsi mengenai pemilihan pakaian uniknya sepanjang Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 edisi ke-20 yang turut menarik perhatian ramai.

Sultan Ibrahim bertitah, pakaian ala 'Safari' itu dipilih Tuanku selepas melihat beberapa reka bentuk baju dalam majalah yang bersesuaian dengan kereta roda tiga Morgan yang dibawanya sepanjang KMJ.

Titah baginda, pakaian yang dipilih itu paling bersesuaian dan ditempah khas tukang jahit dari Muar.

"Pakaian sama hari-hari warna je tukar. Masa saya pilih pakaian saya buka majalah tengok-tengok kalau di England mereka pakai baju apa ketika bawa kereta ni. 

"Saya jumpa la pakaian agak sesuai. Adalah sikit rupa 'orang putih'. Saya tempah buat (baju) di Muar dan bila sudah siap saya tengok cantik pula.

"Raja Zarith (Permaisuri Johor) ingat saya nak pakai baju kemeja atau seluar biasa tetapi pakai begini senang macam safari sikit," titah baginda sambil berseloroh kepada BH ketika ditemui di Kem Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam di sini, pagi tadi.

Sultan Ibrahim berkata, meskipun ditempah khas, namun masih tetap basah apabila rombongannya menempuh cuaca hujan.

"Bila hujan tembus tiada kalis hujan tetapi ia (baju) ini kering cepat. Saya ada baju spare (gantian) lagi (pelbagai warna), esok last (hari terakhir) putih pula," titah baginda.

Dalam perkembangan lain, Sultan Ibrahim bertitah kereta roda tiga Morgan dengan lukisan kala jengking menjadi kesukaannya dan sebelum ini bot laju serta Trak Mack miliknya juga menggunakan lukisan sama.

"Macam Trak Mack,  saya juga ada bot laju pun saya cat macam itu (gambar kala jengking), jadi dah macam jadi identiti sebab saya Scorpio (zodiak). TMJ (Tunku Mahkota Johor) tu JDT (warna), lukisan jerung tu pula saya tengok dari kapal terbang perang dunia kedua," titah baginda.

Berita Harian X