Rabu, 6 September 2017 | 2:03pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perubatan Ketenteraan Malaysia di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan ucaptama pada Persidangan Perubatan Ketenteraan Malaysia di Wisma Perwira, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Kor Perubatan Diraja tingkat kesihatan tentera

KUALA LUMPUR: Kemajuan dalam bidang perubatan ketenteraan memberi limpahan manfaat kepada golongan awam, di samping meningkatkan kadar survival dalam peperangan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, bidang perubatan ketenteraan adalah kepakaran berbeza dan tidak sama dengan kepakaran perubatan awam.

Titah baginda, pengalaman perubatan ketenteraan dalam beberapa cabang perubatan seperti ortopedik, pembedahan plastik, pembedahan neurologi, prostetik dan perubatan pemulihan, banyak memanfaatkan pihak awam.

"Kemajuan perubatan ketenteraan meningkatkan kadar survival dalam peperangan. Kemajuan dalam pemindahan perubatan kecemasan (medical evacuation), perubatan kawasan pertempuran (battlefield medicine) dan penjagaan trauma dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa dalam peperangan.

"Kesengsaraan yang dihadapi dan bilangan kecederaan yang dialami ketika peperangan menjana pelbagai inovasi dan kaedah baharu dalam bidang perubatan, termasuk menghasilkan jurusan perubatan ketenteraan.

"Hari ini, khidmat kesihatan dan perubatan yang lengkap, berteknologi tinggi serta dikendalikan oleh pakar terlatih adalah kemestian untuk setiap angkatan tentera demi menjamin kekuatan tempur.

"Kehadiran pasukan perubatan dianggotai tenaga pakar, dilengkapi peralatan moden lagi terkini, dapat memberikan keselesaan psikologi kepada anggota di medan tempur," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Persidangan Perubatan Ketenteraan Malaysia di Wisma Perwira di sini, hari ini.

Baginda bertitah, sejarah menunjukkan perubatan ketenteraan dapat membantu mengubah haluan peperangan.

"Komander perang yang memahami kepentingan perubatan ketenteraan dan memastikan pemodenannya, baik dari segi peralatan mahupun tenaga pakar, pasti meraih manfaat besar," titah baginda.

Titah baginda, tentera di kebanyakan negara maju meletakkan kepentingan tinggi terhadap perubatan ketenteraan dengan memperuntukkan belanja besar untuk memaju, memoden dan melatih pasukan perubatan ketenteraan.

"Atas keperluan menyelamatkan mangsa perang pada skala besar dan pelbagai bentuk kecederaan dengan tahap keparahan tinggi, peperangan menuntut perlunya dilakukan pelbagai penemuan baharu dalam bidang perubatan.

"Pengeluar terus mereka cipta senjata lebih parah daya pemusnahnya, manakala pihak perubatan ketenteraan perlu mengkaji, menerokai dan menghasilkan formula untuk menyelamatkan nyawa serta merawat tentera dan orang awam yang dicederakan senjata pemusnah baharu," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, Persidangan Perubatan Ketenteraan Malaysia 2017 itu julung kali diadakan sempena sambutan 50 tahun penubuhan Kor Kesihatan Diraja dengan pelbagai subjek dipilih untuk dibincangkan.

"Kandungan persidangan turut merangkumi isu kesihatan dan perubatan yang sangat relevan diberi perhatian ketika ini.

"Data semasa menunjukkan penyakit tidak berjangkit (NCD) merangkumi diabetes, barah, strok, serangan jantung, penyakit berkaitan pernafasan serta peparu dan kanser semakin menjadi punca kematian.

"Enam puluh peratus ke tujuh puluh peratus kematian di Asia Tenggara ketika ini berpunca daripada NCD, meningkat 40 peratus berbanding 1990.

"Membantu membangunkan Angkatan Tentera Malaysia yang didukung anggota sihat, cergas lagi cerdas, bebas daripada penyakit kronik adalah medan tempur yang wajib dimenangi dan perlu dijadikan salah satu matlamat Kor Kesihatan Diraja," titah baginda.

Berita Harian X